10 April 2017 - 18:57
Pakistan Hukum Mati Perisik India

Tentera Pakistan menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pegawai tentera laut India atas dakwaan melakukan intipan dan sabotaj.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Pakistan menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pegawai tentera laut India atas dakwaan melakukan intipan dan sabotaj.

Tentera, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan Kulbhushan Jadhav yang ditahan pada Mac 2016, disabitkan kesalahan itu oleh tribunal tentera. Ketua Angkatan Bersenjata Pakistan, Jeneral Qamar Javed Bajwa, menandatangani hukuman itu.

Menurut Pakistan, Jadhav adalah seorang pegawai perisikan India yang membantu dan membiayai aktiviti keganasan di wilayah barat daya Baluchistan dan bandar pelabuhan selatan, Karachi.

Tentera Pakistan mendedahkan satu video pendek sejurus penahanannya di mana dia membuat pengakuan menghabiskan bertahun menghasut keganasan di Pakistan.

Tidak pasti jika dia membuat pengakuan itu kerana terpaksa. Pihak berkuasa India bagaimanapun gagal dihubungi untuk mengulas. - AP