Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengancam untuk membatalkan pertemuannya dengan Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel berikutan rancangan menteri negara Eropah itu untuk bertemu dengan pertubuhan anggota veteran Angkatan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang bernama 'Breaking The Silence.'
Gabriel tiba di Israel pada 24 April dan dijangka akan menemui Netanyahu dan Presiden Reuven Rivlin di al-Quds. Beliau turut merancang untuk menemui Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin di Ramallah pada keesokan harinya.
Selain daripada itu, Gabriel akan turut menemui ketua pembangkang Israel, Issac Herzog yang merupakan ketua kepada 'Zionist Union.' Beliau dijangka akan berbincang berhubung proses damai yang tergendala sejak April 2014.
Hubungan Jerman-Israel sebelum ini sememangnya sudahpun teruji dengan sikap rejim Tel Aviv yang meneruskan pembinaan penempatan haram yang baharu di kawasan jajahannya.
Pada Mac lepas, Canselor Jerman, Angela Merkel telah membatalkan sebuah pertemuan dengan Netanyahu yang dirancang akan diadakan pada Mei ini berikutan tindakan Knesset yang meluluskan rancangan peluasan kawasan penempatan haram Yahudi di tanah jajahan mereka.
Pada ketika itu, jurucakap Kementerian Luar Jerman mengatakan bahawa tindakan Knesset itu "secara asasnya telah menggegarkan" kepercayaan Jerman ke atas komitmen kerajaan Netanyahu terhadap penyelesaian dua negara.
'Breaking The Silence' adalah sebuah pertubuhan yang menimbulkan banyak masalah kepada rejim Tel Aviv kerana tindakan mereka yang merekodkan testimoni anggota tentera Israel yang berkhidmat di Tebing Barat, Genting Gaza dan di Timur al-Quds sejak Intifada yang kedua. Perkara itu merangkumi pencabulan tentera Tel Aviv ke atas warga Palestin termasuk pencurian dan pemusnahan harta benda yang dilakukan oleh mereka.
/315
25 April 2017 - 19:04
News ID: 825982
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengancam untuk membatalkan pertemuannya dengan Menteri Luar Jerman, Sigmar Gabriel berikutan rancangan menteri negara Eropah itu untuk bertemu dengan pertubuhan anggota veteran Angkatan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang bernama 'Breaking The Silence.'