13 Mei 2017 - 18:06
Militan Kanan Daesh Sedia Diekstradisi

Turki bersetuju dengan permohonan kerajaan Australia untuk mengekstradisi rakyatnya yang dipercayai menjadi perekrut atasan kumpulan militan Daesh, menurut Perdana Menteri Malcolm Turnbull, semalam.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Turki bersetuju dengan permohonan kerajaan Australia untuk mengekstradisi rakyatnya yang dipercayai menjadi perekrut atasan kumpulan militan Daesh, menurut Perdana Menteri Malcolm Turnbull, semalam.

Neil Prakash yang lahir di Melbourne dikaitkan dengan beberapa rancangan serangan berpangkalan di Australia dan telah muncul dalam video serta majalah kumpulan berkenaan.

Turnbull berkata, anggota militan yang ditahan di Turki itu akan dihantar ke Australia dalam masa beberapa bulan lagi kerana perlu melalui proses di Turki, namun kedua-dua pihak telah mempunyai perjanjian ekstradisi.

"Kami berpuas hati kerana Neil Prakash yang menjadi salah seorang individu penting Daesh akan dibawa pulang ke negara ini dan seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan," katanya.

Difahamkan, kerajaan mengumumkan sekatan kewangan ke atas Prakash pada 2015 termasuk sesiapa yang didapati memberi bantuan kewangan kepadanya akan dipenjara sehingga 10 tahun.

Australia mendakwa Prakash aktif merekrut lelaki, wanita dan kanak-kanak tempatan untuk menyertai keganasan. - Reuters