23 Mei 2017 - 18:54
Trump Jumpa Mahmoud Abbas

Presiden Donald Trump dan Presiden Mahmoud Abbas telah bertemu di Tebing Barat pada hari Selasa.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Donald Trump dan Presiden Mahmoud Abbas telah bertemu di Tebing Barat pada hari Selasa.

Pertemuan itu adalah pertemuan terakhir Trump dengan para pemimpin negara-negara Timur Tengah di dalam lawatan pertama beliau ke rantau itu. Trump sebelum ini bertemu dengan Perdana Menteri rejim Israel, Benjamin Netanyahu di al-Quds pada hari Isnin. 

"Saya komited untuk mencari perdamaian di antara Israel dan Palestin dan saya juga berhasrat untuk melakukan apa yang termampu untuk membantu mereka mencapai sasaran itu," kata Trump selepas bertukar-tukar pendapat dengan Presiden Palestin itu.

Abbas menekankan bahawa pihaknya menyokong formula penyelesaian dua buah negara di dalam mencapai perdamaian dengan Tel Aviv. Beliau juga mengatakan bahawa mereka mahukan al-Quds diiktiraf sebagai ibu kota Palestin yang baru.

"Masalah kami adalah penjajahan, penempatan (haram) dan kegagalan Israel untuk mengiktiraf negara Palestin... Masalahnya bukan di antara kami dengan agama Yahudi. Akan tetapi masalahnya adalah di antara kami dengan penjajahan (Israel)," kata beliau.

Pada Februari lepas, Rumah Putih mengumumkan bahawa mereka tidak lagi akan menggunakan pendekatan dua buah negara di dalam menyelesaikan konflik di Timur Tengah itu.

Abbas turut menekankan bahawa "kunci kepada perdamaian" di Timur Tengah adalah kemerdekaan dan kebebasan warga Palestin.

Beliau turut menggesa Israel untuk tunduk kepada "permintaan" ratusan tahanan warga Palestin yang melancarkan mogok lapar sejak 37 hari lepas. -ABNA24

/315