22 Jun 2017 - 03:37

Pihak penyiasat berjaya menemui bukti bahawa suspek yang meletupkan bom di stesen kereta api di sini, kelmarin, bersimpati dengan kumpulan Daesh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pihak penyiasat berjaya menemui bukti bahawa suspek yang meletupkan bom di stesen kereta api di sini, kelmarin, bersimpati dengan kumpulan Daesh.

Polis menjumpai bahan letupan dalam serbuan di sebuah rumah milik suspek di Molenbeek di sini, yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa siri keganasan di Perancis dan Belgium.

Suspek berusia 36 tahun dan memiliki kerakyatan Maghribi itu berjaya ditembak mati oleh anggota tentera dan dia dikenali sebagai O.Z, manakala media tempatan melaporkan lelaki itu dikenali sebagai Oussama Zariouh.

Dalam pada itu, pihak pendakwa berkata, empat orang berada dalam tahanan polis kerana dipercayai 'sering berhubung' dengan suspek.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, pihak berkuasa berkata, insiden mungkin menjadi lebih buruk, sekiranya bom yang berisi paku dan kanister gas itu berjaya diletupkan sepenuhnya.

"Ia mungkin menjadi lebih teruk. Memang sudah jelas bahawa dia mahu menyebabkan lebih banyak kerosakan berbanding apa yang dia sudah lakukan," kata jurucakap pendakwa persekutuan Belgium, Eric Van Der Sypt pada satu sidang media. -AFP