30 Jun 2017 - 23:29
Presiden Rouhani Ucap Tahniah Kepada Ayatullah Sistani

Presiden Republik Islam Iran, Dr. Hassan Rouhani mengucapkan tahniah kepada ulama terkemuka Iraq, Ayatullah Sistani berikutan kejayaan warga negara Arab tersebut membebaskan bandar Mosul daripada cengkaman pengganas Takfiri Daesh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Republik Islam Iran, Dr. Hassan Rouhani mengucapkan tahniah kepada ulama terkemuka Iraq, Ayatullah Sistani berikutan kejayaan warga negara Arab tersebut membebaskan bandar Mosul daripada cengkaman pengganas Takfiri Daesh.

Presiden Rouhani di dalam mesej beliau kepada Ayatullah Sistani turut mengatakan bahawa kejayaan Iraq di Mosul sekali lagi menunjukkan kedudukan penting marja'iyyat (kedudukan ulama yang mengeluarkan fatwa) dan fatwa kepada seluruh penduduk dunia.

Beliau mengatakan bahawa pada tiga tahun lepas, ketika Daesh mula-mula mencerobohi Iraq, timbul perasaan putus asa dan kekecohan yang luar biasa di bumi Arab itu. Akan tetapi, kedudukan marja'iyyat dan pusat ilmiah Islam berjaya mengembalikan harapan dan keazaman kepada warga Iraq untuk memerangi kumpulan Takfiri yang kejam itu.

Menurut Rouhani, kedua-dua perkara tersebut turut berjaya menggerakkan warga dan tentera Iraq untuk bertindak balas dengan penuh semangat ke atas penjenayah Takfiri itu.

Beliau di dalam mesej yang berasingan turut mengucapkan tahniah kepada Presiden dan Perdana Menteri Iraq berikutan kejayaan tentera negara itu dan gerakan mobilisasi awam di dalam membebaskan bandar Mosul daripada cengkaman pengganas Takfiri Daesh.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi pada hari Khamis mengumumkan kejatuhan "negara palsu" Daesh berikutan kejayaan tentera kerajaan membebaskan semula Masjib Besar al-Nuri yang terletak di tengah-tengah bandar Mosul.

"Kepulangan Masjid al-Nuri dan menara al-Hadba ke pangkuan negara menandakan pengakhiran kepada negara palsu Daesh," kata Haider al-Abadi.

Tentera Iraq walau bagaimanapun berkata bahawa mereka akan terus memburu elemen-elemen Daesh sebelum "membunuh mereka atau menahan mereka hingga anggota yang terakhir." -ABNA24

/315