Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri luar negara-negara Arab yang mengenakan sekatan ke atas Qatar berkata bahawa mereka tidak akan membuat sebarang kompromi ke atas senarai tuntutan yang pernah dikemukakan oleh mereka kepada Doha sekaligus menjadikan krisis diplomatik di rantau itu semakin rumit.
Menteri Luar Bahrain, Arab Saudi, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu membuat kenyataan tersebut di dalam sebuah sidang akhbar bersama di ibu kota Bahrain, Manama pada hari Ahad. Mereka sebelumnya bertemu dan berbincang berhubung krisis diplomatik yang telah meningkatkan ketegangan di rantau Timur Tengah.
"Keempat-empat buah negara bersedia untuk memulakan dialog degan Qatar dengan syarat bahawa mereka -Doha- bersetuju untuk menamatkan pembiayaan kepada keganasan dan ekstremisme serta menyatakan komitmennya untuk tidak campur tangan di dalam urusan luar negara-negara lain dan memberikan respon kepada 13 tuntutan (yang dibuat sebelum ini)," baca kenyataan bersama mereka.
Krisis diplomatik ini bermula pada 5 Jun lepas apabila Riyadh memutuskan hubungannya dengan Doha. Perkara itu kemudiannya diikuti oleh beberapa buah negara lain.
Arab Saudi kemudiannya meningkatkan tekanan ke atas Qatar dengan menutup laluan darat, udara dan air negara itu. Kebanyakan bekalan makanan Qatar terpenuhi melalui sempadan darat negara itu dengan Arab Saudi.
Pada lewat bulan Jun, empat buah negara Arab yang diketuai oleh Arab Saudi mengemukakan senarai 13 tuntutan kepada Doha untuk dipatuhi. Tuntutan itu termasuk penutupan kem tentera Turki di negara kecil tersebut. Mereka juga mengarahkan Doha untuk menutup rangkaian berita al-Jazeera.
Qatar walau bagaimanapun enggan akur dengan tuntutan yang dianggapnya sebagai tidak realistik itu. Sebagai respon, keempat-empat neagra Arab itu berikrar untuk meningkatkan sekatan ke atas Qatar.
Usaha beberapa pihak termasuk inisiatif pemerintah Kuwait dan Setiausaha Jabatan Negara A.S setakat ini gagal untuk merungkaikan pertikaian di antara pihak yang terbabit di dalam krisis ini. -ABNA24
/315
1 Ogos 2017 - 14:03
News ID: 845479
Menteri luar negara-negara Arab yang mengenakan sekatan ke atas Qatar berkata bahawa mereka tidak akan membuat sebarang kompromi ke atas senarai tuntutan yang pernah dikemukakan oleh mereka kepada Doha sekaligus menjadikan krisis diplomatik di rantau itu semakin rumit.