Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, menuduh militan Rohingya membakar rumah dan menggunakan kanak-kanak sebagai tentera dalam keganasan terbaharu di Rakhine.
Militan Rohingya menafikan tuduhan itu.
Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melakukan kekejaman sejak beberapa hari lalu, tetapi ia sukar dibuktikan kerana pertempuran berlaku di kawasan yang dikawal tentera.
Jabatan kerajaan yang diketuai Suu Kyi, Pejabat Kaunselor Negara mengeluarkan beberapa kenyataan menerusi Facebook, termasuk beberapa gambar mayat penduduk ditembak mati oleh militan.
"Pengganas melawan pasukan keselamatan dengan menggunakan kanak-kanak sebagai perisai dan membakar beberapa perkampungan etnik minoriti lain," kata kenyataan terbaharu pejabat itu, hari ini.
Kenyataan itu menambah, penduduk awam tidak perlu bimbang jika tidak mempunyai kaitan dengan pengganas sambil menggesa etnik Rohingya bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan tidak mengeluarkan kayu, parang atau senjata apabila anggota keselamatan menghampiri mereka.
Bagaimanapun, kumpulan militan yang bergerak di sebalik Tentera Penyelamat Rohingya Arakan (ARSA), bertindak balas terhadap dakwaan itu hari ini.
"Ketika serbuan, tentera ganas membawa bersama kumpulan pelampau Buddha untuk menyerang penduduk kampung Rohingya, merampas harta dan kemudian membakar rumah mereka," kata kumpulan itu menerusi akaun Twitter @ARSA_Official.- AFP
28 Ogos 2017 - 13:50
News ID: 850970
Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi, menuduh militan Rohingya membakar rumah dan menggunakan kanak-kanak sebagai tentera dalam keganasan terbaharu di Rakhine.