30 September 2017 - 07:25
Daesh Dakwa Siar Rakaman Audio Baghdadi

Kumpulan militan Daesh didakwa telah memuat naik sebuah rakaman audio pemimpin mereka, Abu Bakr al-Baghdadi, di laman web dengan pautan ke kumpulan tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Kumpulan pengganas Takfiri Daesh didakwa telah memuat naik sebuah rakaman audio pemimpin mereka, Abu Bakr al-Baghdadi, ke sebuah laman sesawang dengan pautan ke kumpulan tersebut.

Video yang berdurasi selama 46 minit itu didakwa mereka sebagai ucapan pertama al-Baghdadi sejak November lalu.

Dalam rakaman tersebut, al-Baghdadi kelihatan bercakap tentang ancaman terkini Korea Utara ke atas Jepun dan Amerika Syarikat (A.S) serta pertempuran Daesh di bandar Mosul yang sebelum ini berjaya dibebaskan oleh pasukan keselamatan Baghdad dan sekutu mereka daripada kumpulan pertahanan awam (Hashdu Sya'bi) sejak Julai lepas.

Beberapa bulan sebelum ini, Kementerian Pertahanan Rusia berkata bahawa mereka mungkin telah berjaya membunuh pemimpin kumpulan pengganas Takfiri Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi di Raqqah, Syria.

Menurut mereka, sebuah serangan udara yang dilancarkan pada 28 Mei lepas telah membunuh Abu Bakr al-Baghdadi dan beberapa pemimpin kumpulan pengganas Takfiri itu.

Serangan yang menyasarkan perhimpunan anggota Daesh itu menurut Rusia telah membunuh seramai 330 orang anggota Daesh termasuk 30 orang pemimpin kanan mereka. Anggota Daesh dilaporkan berhimpun untuk berbincang berhubung pengunduran mereka dari bandar Raqqah sendiri.

Rangkaian berita al-Sumariyah yang berpusat di Iraq pada Julai lepas juga mengumumkan bahawa kumpulan Takfiri itu telah mengeluarkan sebuah kenyataan berhubung kematian pemimpin mereka. Al-Sumariyah menukilkan sebuah sumber tempatan di wilayah Nainawa di dalam laporan tersebut.

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria pada bulan Julai lepas turut mengesahkan bahawa mereka mempunyai maklumat kredibel yang menunjukkan bahawa Baghdadi telah terbunuh.

Jurucakap tentera A.S, Ryan Dillon berkata bahawa pihaknya akan terus menganggap bahawa ketua pengganas itu masih hidup selagi mereka tidak menemui bukti yang mampu menyakinkan diri mereka sendiri, lapor BBC.

A.S dan Rusia tidak bersepakat di dalam banyak perkara berhubung operasi anti-keganasan di Syria. Menurut Rusia, A.S tidak jujur di dalam memerangi keganasan di Syria di mana sebahagian daripada tindak-tanduk negara Barat itu menunjukkan bahawa mereka mahukan militansi berterusan di negara Arab tersebut.

A.S berada di Syria tanpa mendapat mandat daripada kerajaan Damsyik mahupun PBB sekaligus menimbulkan kemarahan Syria yang menganggap perkara itu merupakan campur tangan negara asing di dalam urusan dalaman mereka.

Baghdadi tidak dilihat di tempat awam sejak muncul di sebuah masjid di Mosul untuk mengangkat dirinya sebagai "khalifah". Nama sebenar pemimpin kumpulan pengganas itu adalah Ibrahim al-Samarrai. Kumpulan pimpinannya yang meminjam ideologi Wahhabisme terkenal dengan keganasan dan kekejaman yang tidak kenal sesiapapun termasuk ahli kumpulan mereka sendiri.