31 Oktober 2017 - 17:46
Pusingan Ketujuh Rundingan Damai Syria Bermula

Pusingan ketujuh rundingan damai Syria, yang ditaja Iran, Rusia dan Turki bermula hari ini, di Astana, Kazakhstan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pusingan ketujuh rundingan damai Syria, yang ditaja Iran, Rusia dan Turki bermula hari ini, di Astana, Kazakhstan.

Rundingan bermula dengan mesyuarat tertutup, diikuti sidang pleno atau perbincangan peringkat tinggi yang menumpukan isu mengenai zon selamat dan kemanusiaan.

Rundingan baharu yang juga dikenali sebagai proses damai Astana untuk Syria itu, menyaksikan kehadiran peserta termasuk delegasi dari kerajaan Syria dan kumpulan bersenjata.

Menurut laporan media, mesyuarat turut dihadiri wakil Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Amerika Syarikat dan Jordan, yang bertindak sebagai pemerhati.

Sehingga kini, Astana menjadi tuan rumah untuk enam pusingan rundingan mengenai konflik Syria.

Pada 4 Mei, penjamin gencatan senjata di Syria iaitu Iran, Rusia dan Turki, bersetuju untuk menubuhkan "zon selamat" di Syria.

Zon itu meliputi bandar Idlib dan beberapa wilayah di Latakia, Homs, Aleppo dan Hama serta Damsyik, Ghouta Timur, Daraa dan Quneitra. Syria dicengkam perang saudara sejak Mac 2011.

Menurut utusan khas PBB ke Syria, Staffan de Mistura, konflik di Syria telah mengorbankan kira-kira 400,000 orang dan separuh penduduknya diusir dari rumah mereka.- Bernama