1 November 2017 - 17:03
Putin Tiba Di Tehran

Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin tiba di ibu kota Iran hari ini untuk memulakan lawatan rasmi beliau ke negara tersebut dan beliau akan menyertai beberapa rundingan yang dijangka akan terfokus kepada isu Syria, perjanjian nuklear Iran dan hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin tiba di ibu kota Iran hari ini untuk memulakan lawatan rasmi beliau ke negara tersebut dan beliau akan menyertai beberapa rundingan yang dijangka akan terfokus kepada isu Syria, perjanjian nuklear Iran dan hubungan dua hala kedua-dua buah negara.

Putin juga akan menyertai sidang kemuncak dengan rakan sejawatannya dari Iran dan Azerbaijan, Hassan Rouhani dan Ilham Aliyev.

Presiden Persekutuan Rusia itu akan mengadakan rundingan berasingan dengan Presiden Rouhani dan Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatullah Syed Ali Khamenei. Rundingan itu dibuat ketika Moscow dan Tehran dilihat berusaha untuk merapatkan kerjasama mereka di dalam pelbagai isu termasuk konflik di negara Arab Syria.

Kremlin juga berkata bahawa agenda Syria akan menjadi fokus utama perbincangan mereka selepas Russia, Turki dan Iran mencapai kesepakatan di Kazakhstan sebelum ini untuk sama-sama membawa pentadbiran Damsyik dan pemberontak untuk duduk di 'kongres' dalam usaha mencari perdamaian.

Russia dan Iran, yang menyebelahi kerajaan Presiden Bashar al-Assad dan Turki, yang menyebelahi kumpulan pemberontak Syria, menganjurkan beberapa siri rundingan damai di ibu negara Kazakhstan, Astana, pada tahun ini, bersetuju dengan usaha penubuhan zon 'nyah-konflik' di beberapa wilayah di negara Arab tersebut.

Rundingan hari ini juga memberi tumpuan kepada perjanjian nuklear Iran 2015, yang menyaksikan Tehran bersetuju menghadkan program nuklear mereka dan sebagai ganti, kuasa Barat berjanji akan menarik semula beberapa sekatan berkaitan program tersebut

IAEA dan PBB sebelum ini telahpun mengesahkan komitmen Iran kepada perjanjian nuklear tahun 2015 yang juga dikenali sebagai Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA).

Walau bagaimanapun, pentadbiran Rumah Putih sebelum ini enggan mengesahkan komitmen Tehran terhadap perjanjian itu sekaligus meletakkan tanggungjawab kepada Kongres A.S untuk menentukan sama ada untuk memperkenalkan semula sekatan ataupun tidak.

Tindakan A.S itu telah meletakkan Washington di dalam kedudukan yang bersendirian memandangkan sekutu mereka termasuk Britain, Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah menyokong pelaksanaan JCPOA secara amnya. -Agensi