Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Penasihat Myanmar, Aung San Suu Kyi bertemu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diplomat tinggi Amerika Syarikat (AS) di Filipina, kelmarin.
Dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres gesa supaya ratusan ribu penduduk Islam yang melarikan diri ke Bangladesh dibenarkan kembali ke kediaman mereka di Myanmar.
"Guterres menekankan usaha untuk memastikan akses kemanusiaan, kepulangan yang selamat dan bermaruah serta perdamaian antara komuniti adalah sangat penting," menurut kenyataan PBB.
Difahamkan, kenyataan Guterres dibuat beberapa jam sebelum Suu Kyi dan 10 anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (Asean) menyertai Sidang Kemuncak Asia Timur bersama Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson di Manila.
PBB turut menyifatkan tentera Myanmar terlibat dalam percubaan pembersihan etnik dan menggambarkan situasi sebagai sumber potensi ketidakstabilan serta radikal di rantau itu. - AFP