21 Disember 2017 - 19:20
Myanmar Haramkan Ejen PBB Masuk Rakhine

Pegawai-pegawai penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diharamkan masuk ke Rakhine selepas penemuan kubur pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di wilayah tersebut.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pegawai-pegawai penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diharamkan masuk ke Rakhine selepas penemuan kubur pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya di wilayah tersebut.

Pengharaman dibuat semalam, sehari selepas laporan mengenai kubur tersebut didedahkan akhbar tempatan, Global New Light of Myanmar.

Sebanyak 10 mayat ditemui dalam kubur berkenaan yang terletak di Inn Din, bahagian utara Sittwe di Rakhine.

Wakil PBB di Myanmar, Yanghee Lee meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan Myanmar.

"Saya tertanya-tanya dan kecewa dengan keputusan ini. Pengisytiharan ini hanya boleh dianggap sebagai satu bukti kukuh yang sesuatu yang teruk sedang berlaku di Rakhine," kata Lee memetik laporan CNN.

Kerajaan Myanmar pula menuduh Lee 'tidak adil dalam siasatannya'.

"Dia (Lee) tidak adil dan objektif ketika melakukan kerjanya, (kami) tidak percayakan beliau," kata jurucakap kerajaan, Zaw Htay.