28 April 2018 - 16:39
Jinping, Modi Setuju Kurang Ketegangan Sempadan

Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi menamatkan pertemuan tidak rasmi hari ini dengan berjanji mengurangkan ketegangan sempadan selepas pertikaian hangat di pergunungan Himalaya tahun lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India Narendra Modi menamatkan pertemuan tidak rasmi hari ini dengan berjanji mengurangkan ketegangan sempadan selepas pertikaian hangat di pergunungan Himalaya tahun lalu.

Kedua-dua pemimpin itu menghabiskan dua hari di bandar tengah China di Wuhan bagi membincangkan cara memperbaiki hubungan tegang selepas tentera di kedua-dua belah pihak saling bersemuka di kawasan bertelingkah di Doklam.

Kementerian Luar India dalam satu kenyataan selepas pertemuan itu berkata, pemimpin berkenaan menekankan kepentingan mengekalkan perdamaian dan ketenangan di semua kawasan di rantau sempadan India-China.

"Mereka mengeluarkan panduan strategik kepada tentera masing-masing bagi mengukuhkan komunikasi demi membina kepercayaan dan persefahaman bersama serta meningkatkan kebolehramalan serta keberkesanan terhadap pengurusan sempadan," katanya menambah kedua-dua pihak akan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai langkah membina keyakinan.

Dalam satu kenyataan di laman webnya, Kementerian Luar China berkata, Jinping memaklumkan Modi 'hubungan mesra Sino-India adalah faktor penting, positif dalam melindungi kestabilan dunia,' menambah China dan India perlu menjadi jiran dan rakan yang baik.' -AFP