15 Julai 2018 - 17:12
A.S Dan Korea Utara Bertemu

Wakil Washington dan Pyongyang bertemu di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Panmunjom, hari ini untuk berbincang tentang penghantaran pulang mayat tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh dalam Perang Korea pada 1950-53.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Wakil Washington dan Pyongyang bertemu di Zon Bebas Tentera (DMZ) di Panmunjom, hari ini untuk berbincang tentang penghantaran pulang mayat tentera Amerika Syarikat (AS) yang terbunuh dalam Perang Korea pada 1950-53.

Agensi berita Yonhap melaporkan langkah itu adalah salah satu daripada perkara yang dipersetujui ketika sidang kemuncak bersejarah antara Presiden AS, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Singapura pada bulan lalu.

Pada mulanya, Pompeo memaklumkan kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan perbincangan tersebut pada Khamis lalu, namun tiada wakil Pyongyang yang muncul di sempadan pada hari terbabit.        

"Tiga kenderaan tentera AS di Korea Selatan yang mengibarkan bendera PBB dilihat menuju ke Panmunjom. Ketua Perintah PBB (UNC) akan mewakili Washington manakala komander tentera di DMZ dijangka menjadi wakil Pyongyang," lapor Yonhap.

Bulan lalu, tentera AS membawa kira-kira 100 keranda kayu ke DMZ yang akan digunakan untuk membawa pulang kesemua mayat tersebut.

Ketika sidang kemuncak di Singapura, Jong-un juga membuat komitmen meluas untuk meneruskan usaha nyahnuklear, namun beliau gagal memberikan butiran lanjut termasuk tarikh sebenar langkah itu akan dibuat. - Reuters