Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bahrain.com
Ahad

27 November 2022

7:07:36 PTG
1326803

Lelaki India bakar diri sehingga mati kerana protes bahasa

NEW DELHI: Seorang lelaki oktogenarian membakar dirinya hingga mati di selatan India sebagai protes terhadap apa yang disebutnya percubaan New Delhi untuk mengenakan penggunaan bahasa Hindi di seluruh negara, bahasa yang kebanyakannya dituturkan di utara, kata polis hari ini.

Bahasa ialah isu emotif di India di mana beratus-ratus bahasa dan dialek dituturkan, tetapi bahasa Inggeris berfungsi sebagai bahasa rasmi utama, manakala kerajaan negeri menggunakan bahasa serantau.

Menurut bancian terbaharu pada 2011, kurang daripada separuh warga India berbahasa Hindi - kurang daripada 44 peratus.

Namun, bulan lalu sekumpulan ahli parlimen yang diketuai oleh menteri dalam negeri yang berkuasa, Amit Shah dilaporkan mengesyorkan menjadikan Hindi sebagai bahasa rasmi negara, termasuk untuk pendidikan teknikal seperti perubatan dan kejuruteraan.Perdana Menteri nasionalis Hindu, Narendra Modi telah bercakap mengenai 'mentaliti hamba' di sekitar penggunaan bahasa Inggeris, dan mempromosikan penggunaan bahasa India.

Namun, pihak lawan menuduh kerajaannya cuba mengenakan bahasa Hindi, menyebabkan kemarahan tertentu di selatan.Kebanyakan bahasa India selatan adalah Dravidia, keluarga bahasa yang sama sekali berbeza dengan kumpulan Indo-Eropah yang merangkumi bahasa Hindi.

MV Thangavel, 85, seorang petani di negeri selatan Tamil Nadu, menyiram dirinya dengan petrol dan minyak tanah dan membakar dirinya, kata polis.

Dia memegang sepanduk berbahasa Tamil yang berbunyi: "Kerajaan Modi berhenti mengenakan bahasa Hindi. Mengapa kita perlu memilih bahasa Hindi berbanding Tamil kita yang kaya dengan sastera... ia akan menjejaskan masa depan belia kita."

Senthil, seorang pegawai polis yang hanya menggunakan satu nama, memberitahu AFP bahawa Thangavel telah membunuh diri.

"Beliau menulis sepanduk menentang kerajaan pusat," tambahnya.

Thangavel melakukan bantahannya semalam di luar sebuah pejabat di Salem, di kawasan parti pemerintah Tamil Nadu, DMK, di mana dia menjadi ahli.

Pemimpin parti MK Stalin - yang telah mengkritik dasar bahasa kerajaan Modi - mengucapkan takziah kepada keluarga Thangavel tetapi menggesa orang lain untuk mengelakkan protes melampau seperti itu.

"Kita tidak boleh kehilangan nyawa lagi," laporan memetik beliau sebagai berkata, mengutuk 'sikap mendominasi' kerajaan pusat.

"Mari kita terus berjuang menentang penggunaan bahasa Hindi secara politik, demokrasi," katanya.

"Jangan biarkan pemikiran sempit merosakkan negara yang indah dengan kepelbagaian.

"Perkara itu ialah isu politik yang sudah lama berlarutan - parti Kongres yang memerintah ketika itu berusaha menjadikan Hindi sebagai bahasa kebangsaan rasmi pada 1960-an, menyebabkan kemarahan berpanjangan di selatan India.