Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

15 Disember 2022

8:32:23 PTG
1331159

Hamas sedia tamatkan rundingan tukar tahanan dengan Israel

GAZA CITY: Hamas bersedia menamatkan rundingan pertukaran tahanan dengan Israel melainkan terdapat kemajuan mengenainya dalam masa terdekat, kata ketua kumpulan pejuang itu di Semenanjung Gaza.

"Dalam menghadapi pendudukan Israel, kami mengumumkan bahawa kami memberi mereka masa terhad untuk memuktamadkan perjanjian ini.

"Jika tidak, kami akan menutup kes empat tawanan musuh selama-lamanya," kata Ketua Hamas di Gaza, Yahya Sinwar ketika penampilan umum yang jarang berlaku sempena perhimpunan ulang tahun ke-35 penubuhan kumpulan itu.

Sejak pencerobohan Israel ke atas Semenanjung Gaza pada 2014, kumpulan ini didakwa menahan mayat tentera Israel, Oron Shaul dan Hadar Goldin, walaupun Hamas tidak pernah mengesahkan kematian mereka.

Awal tahun ini Hamas menyiarkan video seorang penduduk awam Israel yang ditahan selama tujuh tahun di kawasan itu. Seorang lagi orang awam juga dipercayai ditahan kumpulan itu selepas memanjat tembok ke Gaza pada 2014.

Tiada hubungan rasmi antara kedua-dua pihak dengan Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menjadi orang tengah.Sinwar berkata rundingan tidak langsung berhubung pertukaran tahanan terganggu kerana pilihan raya di Israel.

Benjamin Netanyahu berada di puncak untuk membentuk kerajaan paling sayap kanan Israel, terdiri daripada puak yang bersikap agresif terhadap Palestin.

Ahli politik veteran itu menjadi perdana menteri pada 2011 apabila Israel membebaskan lebih 1,000 tahanan Palestin, sebagai pertukaran untuk tentera Gilad Shalit yang ditahan oleh Hamas selama lima tahun.

Israel mengenakan sekatan yang melumpuhkan ke atas Gaza sejak 2007, apabila Hamas mengambil alih kuasa di kawasan itu.

Tentera Israel dan pejuang Gaza telah bertempur dalam empat peperangan sepanjang sekatan, selain konflik selama tiga hari pada Ogos yang mana 49 rakyat Palestin terbunuh.

342/