3 April 2016 - 14:35
Fatwa larang guna pembesar suara tidak diwartakan

MUFTI Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor merasmikan Mesyuarat Khas Persatuan Kariah Masjid Pulau Pinang, di Georgetown, hari ini. - Foto Ramdzan Masiam

GEORGETOWN: Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memutuskan tidak akan mewartakan fatwa larangan menggunakan pembesar suara di luar masjid. Mufti Pulau Pinang, Datuk Wan Salim Mohd Noor, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak yang didakwa tidak memahami secara menyeluruh fatwa yang sebelum ini hendak diwartakan itu.

Beliau berkata, pihaknya menasihatkan setiap kariah masjid menggunakan budi bicara berhubung penggunaan pembesar suara berkenaan dengan menilai keadaan sekeliling.

"Isu penggunaan pembesar suara ini sudah lama dibangkitkan dan kita sudah mengeluarkan fatwa pada tahun 2010, kemudian diperkemaskan lagi tahun lalu. "Dulu kita memutuskan penggunaan pembesar suara untuk bacaan al-Quran sebelum Subuh adalah dilarang dan kini kita menambah pula sebarang aktiviti ceramah hanya boleh dilaksanakan di dalam kawasan masjid saja dengan menetapkan penggunaan pembesar suara hanya dibolehkan untuk azan dan iqamah," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Khas Persatuan Kariah Masjid Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun wujud salah faham terhadap fatwa berkenaan hingga mendapat tentangan hebat pelbagai pihak. Katanya, orang ramai mula bimbang jika fatwa berkenaan diwartakan, ia sekali gus akan menyebabkan aktiviti mengimarahkan masjid semakin berkurangan. "Perkara ini sebenarnya tidak terjadi jika kita memahami fatwa terbabit.

Namun, apabila berlaku salah faham jawatankuasa memutuskan bahawa fatwa ini tidak diwartakan, sebaliknya mengeluarkan nasihat bagi seluruh kariah masjid dan surau di negeri ini. "Ini bermakna mereka dibolehkan menggunakan pembesar suara di luar masjid, tetapi perlu bergantung kepada suasana tempat dan budi bicara supaya tidak mengganggu masyarakat sekeliling," katanya.