Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Berita Harian
Sabtu

27 Jun 2020

3:35:32 PTG
1050747

6 Maut, Berpuluh Terselamat Cuba Rentas Perairan Libya - PBB

Seorang wanita yang baru melahirkan anak di tengah lautan antara 93 pelarian yang terselamat manakala enam ditemui maut ketika cuba menyeberangi perairan Libya bagi memasuki Eropah.

Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Seorang wanita yang baru melahirkan anak di tengah lautan antara 93 pelarian yang terselamat manakala enam ditemui maut ketika cuba menyeberangi perairan Libya bagi memasuki Eropah.

Agensi pelarian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) , Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), berkata pelarian yang terselamat itu dibawa bermalam di bandar Khoms, 120 kilometer dari ibu negara, Tripoli.

"Antara yang terselamat adalah seorang wanita yang melahirkan anak, apabila mereka cuba menyeberang secara bahaya di laut Mediterranean.

"Kakitangan IOM turut mendapati enam daripada mereka meninggal dunia dalam perjalanan itu," katanya.

Libya dilanda kekecohan selepas pemimpinnya, Muammar Gaddafi, digulingkan dan dibunuh pada 2011.

Penyeludup manusia kini mengeksploitasi keadaan itu untuk membawa masuk pelarian dari negara itu ke Eropah.

Tragedi terbaru itu berlaku hanya beberapa hari selepas kapal kebajikan Ocean Viking menemui berpuluh pelarian termasuk 31 orang dari Pakistan, di kepulauan Itali di Lampedusa, selepas mereka hanyut dari Libya.

Sementara itu, Nicholas Romaniuk yang melakukan koordinasi misi menyelamat, berkata mereka kerap diganggu penguatkuasa pantai Libya yang akan memintas kapal pelarian dan menghantar mereka kembali ke negara itu.

"Kami berada di hadapan selama sejam setengah apabila penguatkuasa Libya memintas dan campur tangan, lalu memaksa pelarian pulang ke Libya.

"Tiada koordinasi, tiada maklumat mengenai operasi menyelamat walaupun nyawa manusia terancam dan ada bayi baru lahir atas kapal," katanya. - AFP