Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Isnin

28 November 2022

6:36:44 PTG
1327109

Kanada dedah strategi, dasar luar baharu Asia-Pasifik

OTTAWA: Kanada semalam melancarkan pelan strategi ekonomi dan diplomatik baharu untuk rantau Asia-Pasifik dengan memperuntukkan 2.3 bilion dolar Kanada (RM7.62 bilion) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antara tumpuan utama ialah untuk mengurangkan kebergantungan Kanada terhadap China dan risiko yang ditimbulkan negara serta memperluaskan kerjasama dengan negara rantau Asia Pasifik lain.

Kerajaan Perdana Menteri, Justin Trudeau, yang mengasaskan strateginya kepada pada lima tonggak utama iaitu mempromosikan keamanan dan keselamatan, terutamanya dengan menghantar kapal perang ke wilayah Asia-Pasifik.

Tonggak lain termasuk memperkukuh perdagangan dan pelaburan; meningkatkan 'bantuan antarabangsa untuk wanita; membiayai infrastruktur yang mampan; dan meningkatkan kehadiran diplomatik."Masa depan Indo-Pasifik adalah masa depan kita, kita berperanan membentuknya dan bagi berbuat demikian, kita perlu menjadi rakan kongsi yang benar dan boleh dipercayai," kata Menteri Luar, Melanie Joly dalam satu kenyataan memperkenalkan dasar itu.

Tambah beliau, strategi baharu itu 'menghantar mesej yang jelas kepada rantau ini bahawa Kanada berada 'di sini', dan mereka boleh mempercayai negara itu untuk kekal berada 'di sini'.

Dalam temu bual dengan akhbar harian berbahasa Perancis, La Presse, mengenai dasar baharu itu, Joly berkata, mesej yang dihantar secara khusus ditujukan kepada Beijing, yang mana Ottawa mempunyai hubungan erat.

"Terdapat masalah asas dengan fakta bahawa China pada masa ini tidak menghormati norma antarabangsa dan cuba mengubah atau mentafsirkannya untuk kelebihannya sendiri," kata Joly kepada akhbar itu.

Namun, menteri itu berkata kerajaan tidak akan bertindak menasihatkan syarikat Kanada supaya tidak menjalankan perniagaan di China.

"Tugas saya ialah menjelaskan risiko itu dan saya katakan terdapat risiko geopolitik dalam menjalankan perniagaan di China," katanya.

Kerajaan berkata, strategi 'membentangkan hala tuju yang komprehensif adalah untuk memperkukuhkan pembabitan mereka di Indo-Pasifik sepanjang dekad akan datang, meningkatkan sumbangan kepada keamanan dan keselamatan serantau'.

Pengumuman itu dibuat selepas lawatan Trudeau dan Joly ke Asia bagi sidang kemuncak Kumpulan 20 di Indonesia, sidang kemuncak ASEAN di Kemboja dan mesyuarat forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok.

Pada sidang kemuncak G20, Presiden China Xi Jinping dilihat 'memarahi' Trudeau, yang turut dirakam dalam video.

Hubungan antara kedua-dua negara terjejas apabila pihak berkuasa Kanada menahan eksekutif Huawei, Meng Wanzhou pada 2018 kerana didakwa melanggar sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.

Beijing kemudiannya menahan dua warga Kanada di China, Michael Spavor dan Michael Kovrig, yang disebut oleh pengkritik sebagai tindak membalas dendam.

Meng dan dua warga Kanada itu dibebaskan tahun lalu selepas rundingan yang panjang.

342/