Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Sinar Harian
Selasa

4 September 2018

2:42:54 PTG
908069

Wartawan Reuters Dapat Sokongan Banyak Pihak

Sebanyak 76 kumpulan masyarakat sivil, hari ini menggesa pembebasan dua wartawan Reuters yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melanggar undang-undang rahsia Myanmar dan turut mengecam keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak adil dan serangan terhadap hak kebebasan maklumat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebanyak 76 kumpulan masyarakat sivil, hari ini menggesa pembebasan dua wartawan Reuters yang dihukum penjara tujuh tahun kerana melanggar undang-undang rahsia Myanmar dan turut mengecam keputusan itu yang disifatkan sebagai tidak adil dan serangan terhadap hak kebebasan maklumat.

"Keseluruhan proses perbicaraan itu tidak adil dan dimanipulasi sepenuhnya," kata kumpulan termasuk pertubuhan pendidikan dan keamanan dalam satu kenyataan bersama dimuat naik di Twitter.

Sabitan ke atas kedua-dua wartawan Reuters, Wa Lone, 32, dan Kyaw Soe Oo, 28, yang mengaku tidak bersalah itu turut mencetuskan kritikan PBB dan negara Barat termasuk Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan agensi antarabangsa.

Beberapa diplomat turut mempersoalkan tentang peralihan Myanmar kepada demokrasi selepas hampir 50 tahun berada di bawah pemerintahan junta tentera selain komitmen hak asasi kerajaan yang dipimpin penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.

"Kami melihat ini sebagai tindakan keras terhadap hak untuk mengakses maklumat dan kebebasan media serta penindasan berterusan," ujar kumpulan itu lagi.

Sebelum ini, wartawan terbabit memberitahu mahkamah bahawa dua anggota polis menyerahkan dokumen kepada mereka di sebuah restoran di Yangon sebelum mereka ditangkap pada 12 Disember lalu.

Seorang anggota polis turut mendedahkan pertemuan tersebut adalah satu perangkap untuk menghukum Wa Lone dan Soe Oo kerana membuat liputan tentang pembunuhan beramai-ramai penduduk lelaki Rohingya di perkampungan Inn Din pada September 2017.

Semalam, Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet, turut terkejut dengan keputusan mahkamah yang menyaksikan dua wartawan Reuters dikenakan hukuman penjara tujuh tahun.

"Saya benar-benar terkejut. Saya menggesa Myanmar segera membebaskan Kyaw Soe Oo dan Thet Oo Maung tanpa syarat. Perbicaraan itu seakan mempersendakan keadilan," kata bekas presiden Chile itu pada hari pertama beliau memegang jawatan tersebut.

Kes tersebut turut mencetuskan bantahan masyarakat antarabangsa malah imej ikon demokrasi, Aung San Suu Kyi turut tercalar kerana beliau hanya berdiam diri tentang kekejaman ke atas golongan minoriti tersebut.

Bagaimanapun, bekas wartawan Reuters, Aung Hla Tun yang kini memegang jawatan Menteri Maklumat bertindak mempertahankan tindakan Suu Kyi itu.

"Mengkritik sistem kehakiman adalah sama seperti menghina mahkamah. Saya tidak rasa beliau (Suu Kyi) akan berbuat demikian," ujarnya.

Difahamkan, peguam mewakili Wa Lone dan Soe Oo akan mengemukakan rayuan walaupun proses itu mungkin akan mengambil masa yang lama. - AFP