Agensi Berita Ahlul Bait - ABNA - Tentera Yaman dan sekutunya dilaporkan berjaya menghalang serangan tentera pakatan pimpinan Arab Saudi ke atas Sana'a dalam operasi yang turut menyaksikan rejim Riyadh menanggung kerugian besar dari aspek perkakasan dan kakitangan.
Pada 25 Januari lepas, pasukan tentera Yemen dan militia tempatan berjaya melancarkan serangan besar-besaran ke atas pasukan pimpinan Riyadh dalam operasi yang dinamakan sebagai Bonyan al-Marsoos (Struktur Kuat).
Operasi itu dilancarkan untuk memusnahkan persiapan tentera pakatan yang pada ketika itu sedang bersiap sedia untuk menyerang wilayah Sana'a.
Tentera Yaman dalam operasi itu tidak hanya berjaya menghalang serangan ke atas Sana'a. Akan tetapi, mereka juga dilaporkan berjaya membebaskan daerah Nihm secara keseluruhan dari cengkaman pihak musuh.
Menurut laporan media tempatan, serangan tentera Yaman itu turut mendapat sokongan udara melalui penggunaan dron sekaligus menunjukkan peningkatan mendadak dari aspek perkakasan tentera yang dimiliki oleh mereka sejak daripada permulaan konflik.
Rangkaian televisyen al-Masirah yang menukilkan kenyataan jurucakap Angkatan Tentera Yaman, Jeneral Yahya Saree melaporkan secara terperinci pada hari Isnin bahawa pihak tentera melalui operasi Bonyan al-Marsoos berjaya membebaskan kawasan luas yang terletak di wilayah utara Jawf dan pusat wilayah Ma'rib.
Semasa sidang akhbar, Saree menambah bahawa pasukan Yaman berjaya merampas puluhan kereta kebal, kenderaan berperisai, kenderaan tentera, meriam, dan depot senjata dari pasukan pimpinan Arab Saudi, katanya.
Saree berkata sekurang-kurangnya 1,500 anggota pasukan gabungan yang dipimpin oleh Arab Saudi terbunuh dan 1,830 yang lain pula mengalami kecederaan dalam operasi itu. Hampir 170 yang lain juga berjaya ditahan oleh pasukan Yaman, katanya.
Operasi Struktur Tegas yang bermula pada 30 Januari lepas juga menyebabkan kemusnahan 17 batalion pasukan musuh, tambahnya. -Agensi
3 Februari 2020 - 18:38
News ID: 1007575
Tentera Yaman dan sekutunya dilaporkan berjaya menghalang serangan tentera pakatan pimpinan Arab Saudi ke atas Sana'a dalam operasi yang turut menyaksikan rejim Riyadh menanggung kerugian besar dari aspek perkakasan dan kakitangan.