Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Setiausaha Agung Hizbullah, Sayyid Hasan Nasrallah mengkritik keras dasar Liga Arab yang mengelak perbincangan mengenai krisis Bahrain dalam persidangan di Baghdad.
Sayyid Hasan Nasrallah menambah, ada di kalangan peserta persidangan mengugut ingin meninggalkan persidangan sekiranya isu Bahrain dibangkitkan.
"Tindakan ini menambahkan kezaliman terhadap rakyat Bahrain, namun motivasi rakyat negara ini tidak akan terkubur di mana keazaman mereka disertai dengan kesabaran dan pengorbanan sejak bermulanya revolusi.
"Penyingkiran isu Bahrain dari agenda persidangan merupakan satu keanehan kerana rakyat negara ini juga orang Arab. Aktiviti secara aman mereka juga terhalang dengan wujudnya tekanan."
Selain itu Sayyid Hasan turut mempersoalkan apakah bezanya penyuraian tunjuk perasaan dengan peluru dan gas beracun. Kata beliau, "Gas beracun digunakan di Bahrain sehingga dikatakan mereka tidak menggunakan peluru... Gas ini tidak hanya digunakan untuk penunjuk perasaan, bahkan dilepaskan ke arah kawasan perumahan. Ini adalah pembunuhan yang disengajakan."
Mengenai campurtangan asing dalam penggulingan Presiden Bashar Asad, beliau berkata, "Sokongan untuk menjatuhkan presiden Bashar Asad menemui kegagalan dan akan mendapat pembalasannya.
"Usaha campurtangan antarabangsa dalam urusan dalaman Syria sudah gagal, ini disebabkan pemberontak bersenjata tidak mampu menghadapi ketenteraan negara ini."
Beliau turut mengingatkan, "Jikalau negara-negara serantau dan Arab ingin menjaga keamanan dan kestabilan rantau itu, sekiranya benar-benar simpati terhadap rakyat Syria, mereka perlu tahu bahawa penyelesaian krisis Syria hanyalah melalui jalan politik, tidak ada cara yang lain lagi.
"Setiap jalan selain dari penyelesaian politik tidak memberikan manfaat kepada Syria dan ummat; bahkan ia memberi faedah kepada Israel."