12 September 2012 - 02:20

Penunjuk perasaan memanjat dinding kedutaan Amerika dan membakar benderanya dalam tunjuk perasaan semalam; sambil melaungkan: "Morsi, Morsi mengapa kamu diam? Bukankah ini nabi anda?"

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Rakyat Mesir (Selasa) bertindak menurunkan bendera Amerika dari dinding kedutaan AS di Kaherah ketika ribuan penunjuk perasaan mengadakan protes terhadap filem pendek yang dihasilkan oleh AS berasaskan Kristian Koptik yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.

Sebilangan penunjuk perasaan berjaya memanjat dinding kedutaan manakala sebahagian yang lain berjaya menerobos taman kedutaan sambil menggantikan bendera Amerika dengan panji-panji tertera "Tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah."

Kebanyakan penunjuk perasaan menyahut seruan pemimpin Salafi Wesam Abdel Wareht untuk memprotes filem berjudul "Mohammed Trial" pada pukul 5 petang di luar kedutaan Amerika, Kaherah.

Walau bagaimanapun pihak Abdel-Wareth, menafikan penunjuk perasaan telah berjaya menceroboh premis kedutaan dan mendakwa bendera Amerika telah dibakar di hadapan kedutaan, dan bukannya di dalamnya.

Sementara itu, Halaman rasmi saluran Facebook Al-Hekma telah menyiarkan gambar sekumpulan pemuda membuang bendera di luar kedutaan dengan komen yang berbunyi: "Zamalek membuang bendera Amerika di hadapan kedutaan."

Jurucakap kedutaan AS David Linfield, bagi pihaknya, mengesahkan bahawa penunjuk perasaan telah berjaya memasuki kedutaan dan membuang bendera. Beliau turut menafikan khabar angin bahawa penunjuk perasaan telah ditembak sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Menurut wartawan al-Ahram tiada kecederaan dilaporkan dalam demonstasi yang berterusan di tempat kejadian. Walaupun suasana masih tegang, pasukan keselamatan yang dikerahkan di tempat kejadian kelihatan agak tenang dan kebanyakan daripada mereka hanya duduk berehat di kaki lima.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk yang mengutuk penghinaan kepada Nabi Muhammad, manakala yang lain berikrar akan membalas dendam. sebahagian penunjuk perasaan pula menuntut penutupan kedutaan.

Mereka turut melaungkan slogan: "Obama, Obama masih terdapat satu bilion Osama," yang dirujuk kepada pemimpin Al-Qaeda Osama Bin Laden.

Penunjuk perasaan lain menulis "Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah" di pintu pagar utama kedutaan, sambil mengaburkan tulisan "Kedutaan Amerika Syarikat."

"Semua orang hadir di sini demi Nabi," kata penunjuk perasaan Osama Abdel Halim. Mereka turut mempertikaikan penduduk yang tidak hadir dalam masalah agama: "Mengapa semua orang hanya turun di jalan dalam masalah perlembagaan? tetapi tidak apabila nabi dihina?"

Bercakap kepada Ahram Online, jurutera Ahmed Hussein berkata: "Saya tidak mahu kedutaan ditutup, kerana ini akan menjejaskan rakyat Mesir yang tinggal di Amerika Syarikat. Tetapi saya bersetuju bahawa pembuat filem ini perlu didakwa."

Beliau menambah: "Saya tidak peduli jika sesiapa menghina politik Islam, tetapi menghina agama itu sendiri adalah garis merah."

Penunjuk perasaan Mostafa Khalaf menyeru Presiden Mesir Mohamed Morsi, yang berasal dari Ikhwan Muslimin agar mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengelakkan siaran filem yang menyinggung perasaan ini.

"Morsi, Morsi mengapa kamu diam? Bukankah ini nabi anda?" penunjuk perasaan melaungkan.

Protes mula bertukar menjadi aggresif apabila beberapa penunjuk perasaan membakar bunga api, yang mengeluarkan bunyi seperti tembakan. Penunjuk perasaan lain di tempat kejadian melaungkan "Damai, Aman," menggesa rakan-rakan mereka menghindari keganasan.

Tentera Mesir sempat campur tangan sekitar kawasan kedutaan dalam usaha untuk menenangkan keadaan.

Kira-kira 20 orang berdiri di atas dinding luar kedutaan, manakala kira-kira 2,000 penunjuk perasaan berkumpul di luar bangunan pukul 8 malam.

Maurice Sadeq, seorang peguam Koptik yang berpangkalan di Amerika Syarikat, mengumumkan awal minggu ini bahawa 'Pimpinan Tertinggi Negeri Koptik' yang berpangkalan di AS akan menyiarkan filem 13-minit pada hari Selasa untuk memperingati ulang tahun ke-12 serangan 9/11 di New York dan Washington.

Pelbagai gereja tempatan di Mesir telah mengutuk filem itu pada hari-hari kebelakangan ini, menegaskan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu semata-mata menjalankan agenda mereka sendiri dan tidak mewakili masyarakat Kristian Mesir.

Dalam satu kenyataan semalam (Selasa), kedutaan AS mengeluarkan kecaman terhadap isu ini sebagai: "Usaha berterusan oleh individu-individu sesat untuk menyakiti perasaan umat Islam" dan "serangan berterusan ke atas kepercayaan agama lain di bawah nama kebebasan bersuara.

Selain itu Gereja Koptik Mesir Ortodoks dan Gereja Evangelis masing-masing mengeluarkan kenyataan pada Isnin dengan mengutuk filem itu, dan menekankan bahawa ia tidak mewakili masyarakat Kristian Mesir.

Fadi Yousef, anggota Gabungan Koptik Mesir menuntut mereka yang bertanggungjawab menghasilkan filem itu dibicarakan sambil menerangkan kandungan filem itu sebagai "serangan kepada semua orang-orang Mesir."

Reaksi Ikhwanul Muslimin

Sementara itu, jurucakap Ikhwan Muslimin Mahmoud Ghozlan berkata pada hari Selasa, kumpulan itu merancang untuk mengadakan perhimpunan berjuta-juta orang pada hari Jumaat ini untuk menyatakan penentangan mereka terhadap filem anti-Islam.

Ghozlan juga berkata pentadbiran AS perlu mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi kepada dunia Islam, sambil menambah bahawa kerajaan AS perlu mendakwa "orang gila" yang menjalankan aktiviti merosakkan hubungan Washington dengan negara-negara Arab dan Islam.

Beliau turut menegaskan bahawa semua demonstrasi harus kekal aman.

"Protes perlu aman dan mengelakkan sebarang bentuk vandalisme," tegas Ghozlan. "Mereka harus demonstrasi secara bertamadun dalam menunjukkan kemarahan rakyat Mesir terhadap filem ini."

Beliau seterusnya memberi amaran bahawa "apa-apa aktiviti yang bukan-keamanan akan dieksploitasi oleh mereka yang membenci Islam untuk memfitnah imej Mesir dan umat Islam."

Ghozlan juga menolak tanggapan protes negatif bahawa hubungan Mesir dengan Washington akan terjejas sambil menekankan bahawa isu ini harus menjadi salah satu keperihatinan seluruh dunia Islam dan bukan terhad di Mesir sahaja.

Ahmed Khalil, bagi pihaknya, seorang pemimpin kanan Mesir "Parti Salafi Nour" (yang memainkan peranan utama dalam protes hari Selasa), berkata parti itu tidak akan berhenti menduduki hadapan kedutaan. Sebaliknya beliau berkata, ia telah mengemukakan permintaan kepada kedutaan AS menuntut kerajaannya melarang siaran filem tersebut sambil mengeluarkan permohonan maaf secara rasmi.

Khalil menambah, tindakan "beberapa warga Amerika" yang menghasilkan filem itu sedang bekerja untuk menjejaskan hubungan Washington dengan seluruh dunia Islam.

Dalam usaha mengawal keadaan, anggota parti Salafi di Mesir turut dilaporkan bekerjasama dengan Pasukan Keselamatan Negara Mesir untuk memujuk penunjuk perasaan supaya turun dari atas dinding kedutaan.