14 Mac 2016 - 18:06
Israel tembak mati tiga penduduk Palestin

Pasukan keselamatan memeriksa kawasan kejadian selepas tiga penduduk Palestin melancarkan dua serangan termasuk tembakan dan rempuhan kereta di pintu masuk Kiryat Arba, Tebing Barat, semalam. AFP

TEBING BARAT 14 Mac – Tiga penduduk Palestin ditembak mati oleh pasukan keselamatan Israel selepas didakwa melancarkan dua serangan termasuk serangan tembakan dan kejadian rempuhan kereta di Tebing Barat, hari ini.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pasukan keselamatan, dua daripada penduduk Palestin itu didakwa melepaskan tembakan di perhentian bas, kawasan pintu masuk Kiryat Arba, berhampiran Hebron sebelum pasukan keselamatan bertindak menembak kedua-dua lelaki tersebut.

“Dalam satu lagi insiden, seorang penduduk Palestin cuba merempuh sebuah kenderaan tentera Israel yang menuju ke arah lokasi kejadian pertama sebelum pasukan keselamatan melepaskan tembakan ke arah penyerang tersebut,” dakwa kenyataan terbabit.

Seorang anggota tentera Israel cedera parah, manakala dua yang lain mengalami kecederaan ringan dalam kejadian rempuhan kereta.

Jurucakap tentera mendakwa, semua penyerang menggunakan pistol dan senjata ringan ketika melakukan serangan tersebut.

Pasukan keselamatan Israel telah memperketatkan kawalan keselamatan di sekitar Baitulmaqdis dan Tebing Barat berikutan serangan didakwa daripada penduduk Palestin yang berterusan sejak lima bulan kebelakangan ini.

Sejak Oktober lalu, gelombang keganasan kedua-dua kawasan telah mengorbankan 191 penduduk Palestin dan 28 orang penduduk Israel, dua warga Amerika, dan masing-masing seorang rakyat Eritrea serta Sudan. – AFP