2 Mac 2017 - 20:30
Tentera Syria, Sekutu Kuasai Semula Palmyra

Tentera Syria dan rakan sekutu mereka mara ke Palmyra hari ini berikutan pengunduran pasukan militan Daesh.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Tentera Syria dan rakan sekutu mereka mara ke Palmyra hari ini berikutan pengunduran pasukan militan Daesh.

Ini adalah cubaan kedua pasukan tentera Syria yang dibantu pasukan tentera udara Russia dan kumpulan militan sokongan Iran untuk menawan Palmyra daripada penguasaan Daesh dalam tempoh setahun.

Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, pasukan tentera dilaporkan memasuki Palmyra dari bahagian barat dan membuat kubu di atas bukit sebelum melancarkan operasi membersihkan periuk api di kawasan bandar.

Sebuah stesen televisyen Syria pula melaporkan, pasukan tentera berjaya menguasai bukit al-Tar di barat laut Palmyra. Militan Daesh sebelum ini memusnahkan sebahagian besar warisan arkeologi Syria yang berharga dan beberapa warisan bersejarah yang lain.

Pasukan tentera Syria juga terbabit dalam peperangan menentang Daesh di timur Aleppo iaitu di Sungai Euphrates dan bandar Deir al-Zor. -Reuters