Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah letupan bom kenderaan menggegarkan Kabul, Afghanistan pada pagi Rabu. Menurut Kementerian Kesihatan Afghanistan, sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 350 yang lain pula mengalami kecederaan di dalam tragedi yang berlaku di bulan Ramadhan itu.
Letupan itu meletus berdekatan dengan Istana Presiden dan beberapa bangunan kedutaan negara-negara luar, kata para pegawai Afghanistan.
Setakat ini tiada sebarang kumpulan yang menyatakan bertanggungjawab ke atas serangan tersebut. Pihak berkuasa juga masih menyiasat sasaran sebenar pelancar serangan yang dilancarkan di Medan Zanbaq itu.
Laporan juga menunjukkan bahawa beberapa bangunan kedutaan yang terletak di sekitar kawasan kejadian turur mengalami kerosakan akibat daripada letupan tersebut.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Afghanistan, Ismael Kawoosi juga mengatakan bahawa amgka kematian mungkin akan meningkat dari masa ke semasa.
"Mereka masih membawa masuk mayat dan mangsa yang cedera ke hospital," katanya.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Najib Danish pula mengatakan bahawa penemuan awal menunjukkan bahawa serangan itu melibatkan sebuah lori yang diisi dengan bom. -ABNA24
/315