26 Ogos 2017 - 13:19
71 Terbunuh Diserang Militan

Se­kurang-kurangnya 59 orang etnik Rohingya dan 12 anggota keselamatan terbunuh selepas kumpulan militan melancarkan serangan besar-besaran ke atas 30 pondok polis serta pangkalan tentera di negeri Rakhine.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Se­kurang-kurangnya 59 orang etnik Rohingya dan 12 anggota keselamatan terbunuh selepas kumpulan militan melancarkan serangan besar-besaran ke atas 30 pondok polis serta pangkalan tentera di negeri Rakhine.

Pertempuran berkenaan yang masih terjadi di beberapa kawasan, menunjukkan konflik di Rakhine semakin memuncak sejak Oktober lalu.

Ketika itu, serangan hampir sama mengorbankan sembilan anggota polis sehingga menyebabkan tentera kerajaan melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran.

Dalam operasi tersebut, tentera didakwa melakukan pembersihan etnik dengan membunuh dan merogol serta memusnahkan kediaman penduduk awam terutamanya etnik Rohingya.

Operasi ‘pembersihan’ itu menyebabkan kira-kira 87,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pasukan keselamatan Myanmar melanggar hak asasi manusia.

Tentera Keselamatan Arakan Rohingya (ARSA) yang sebelum ini dikenali sebagai Harakah al-Yaqin atau Pergerakan Iman, mengaku bertanggungjawab ke atas insiden awal pagi tadi selain memberi amaran lebih banyak sera­ngan bakal dilancarkan.

Sumber tentera di Rakhine memberitahu, seramai 1,000 militan dilihat menyertai serangan terbabit, lima kali lebih ramai berbanding pertempuran pada Oktober tahun lalu.

Serangan terbabit berlaku beberapa jam selepas sebuah suruhanjaya diketuai oleh bekas ketua pe­mimpin PBB, Kofi Annan mengarahkan Myanmar untuk menyelesaikan konflik di Rakhine. – REUTERS