15 September 2017 - 03:27
Rejim Myanmar Boneka A.S: Velayati

Seorang pegawai kanan Iran mengatakan bahawa rejim di Myanmar adalah boneka A.S sambil menggesa negara-negara Islam untuk tidak berdiam diri dalam menghadapi tindakan kejam rejim tersebut ke atas etnik minoriti Rohingya Muslim.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Seorang pegawai kanan Iran mengatakan bahawa rejim di Myanmar adalah boneka A.S sambil menggesa negara-negara Islam untuk tidak berdiam diri dalam menghadapi tindakan kejam rejim tersebut ke atas etnik minoriti Rohingya Muslim.

"Rejim Myanmar adalah boneka Amerika," kata Ali Akbar Velayati yang merupakan penasihat kanan kepada Pemimpin Revolusi Islam Ayatullah Seyyed Ali Khamenei berhubung hal ehwal antarabangsa pada hari Khamis.

"Seseorang yang menerima Hadiah Nobel Keamanan secara tidak adil pada hari ini telah melakukan perkara ini. Akan tetapi, masyarakat Islam tidak akan berdiam-diri dan akan mengekang rejim diktator ini melalui perantaraan badan-badan antarabangsa," katanya.

Pemimpin de facto Myanmar, Aung Sang Suu Kyi yang memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 1991 hampir tidak mengambil sebarang tindakan untuk menamatkan keganasan yang sedang berlaku ke atas umat Islam Rohingya sekaligus mencetuskan bantahan antarabangsa.

Tentera Myanmar sejak 25 Ogos lepas telah melancarkan siri serangan terbaharu mereka ke atas kaum Muslim Rohingya selepas puluhan pos polis dan pos sempadan di negeri utara Rakhine diserang oleh kumpulan bersenjata yang mempertahankan hak-hak Rohingya seperti yang didakwa oleh kerajaan Myanmar.

Pemimpin Revolusi Islam, Ayatullah Syed Ali Khamenei pada beberapa hari lepas turut mengkritik kerajaan Myanmar di atas kekejaman dan keganasan itu sambil menggesa tindakan praktikal negara-negara Islam ke atas rejim di Myanmar. -ABNA24

/315