5 Oktober 2017 - 04:50
Raja Salman Lawat Rusia

Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz pada hari Rabu (4/10) telah tiba di Moscow dalam rangka lawatan beliau ke negara Persekutuan Rusia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz pada hari Rabu (4/10) telah tiba di Moscow dalam rangka lawatan beliau ke negara Persekutuan Rusia.

Beliau dijangka akan melawat Rusia selama empat hari untuk membincangkan beberapa isu penting bersama pihak Rusia khususnya berhubung isu di Syria dan situasi pasaran minyak global.

Lawatan Raja Salman itu turut merefleksikan sebuah transformasi besar di dalam hubungan bilateral kedua-dua buah negara yang selama ini kelihatan memilih posisi yang bertentangan berkenaan konflik di Syria.

Moscow secara terang-terangang berhasrat untuk menghapuskan keganasan dan militansi di Syria melalui kerjasama rapat bersama kerajaan sah di Damsyik. Riyadh pula memilih untuk menyokong mana-mana pihak yang berusaha untuk menjatuhkan pemerintahan Presiden Syria, Bashar Assad melalui pendekatan kekerasan.

Raja Salman yang akan bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada hari Khamis (5/10) dijangka akan berbincang untuk mencari cara dalam rangka mendesak para militan di Syria supaya meletakkan senjata selari dengan desakan masyarakat dunia.

Riyadh memiliki pengaruh yang tinggi ke atas pertubuhan induk kumpulan pembangkang Syria bernama Majlis Rundingan Tertinggi (HNC). Pertubuhan yang berpusat di Riyadh itu setakat ini enggan memasuki sebarang rundingan damai tanpa prasyarat yang mereka inginkan.

Rusia dan Arab Saudi juga perlu membincangkan sebuah mekanisme yang jitu berhubung pengeluaran minyak dalam rangka membantu kestabilan harga minyak global. -ABNA24

/315