17 Oktober 2017 - 18:03
Setiap Minit Pelarian Rohingya Tiba

Nasib Rohingya yang masih berada di Myanmar semakin membimbangkan berikutan peningkatan mendadak pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak beberapa hari lalu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Nasib Rohingya yang masih berada di Myanmar semakin membimbangkan berikutan peningkatan mendadak pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak beberapa hari lalu.

Sehingga kini, kira-kira 582,000 pelarian Rohingya memasuki Bangladesh sejak 26 Ogos lalu, dengan 45,000 orang tiba sejak hujung minggu lalu.

Agensi bantuan yakin Rohingya melarikan diri dari Myanmar kerana kelaparan berikutan sukar mendapat bekalan makanan, selain rumah mereka dibakar.

Jurucakap agensi kanak-kanak PBB, Marixie Mercado, berkata sejak Ahad lalu, antara 10,000 hingga 15,000 pelarian baru tiba memasuki Bangladesh melalui Anjuman Para di daerah Ukhia.

“Setiap minit ada pelarian baru tiba,” katanya.

Menurutnya, pelarian baru itu sebelum ini memilih tinggal di Rakhine namun akhirnya terpaksa melarikan diri selepas perkampungan dibakar.

Menurutnya, pelarian memberitahu mereka berjalan selama seminggu untuk ke sempadan Bangladesh dan masih ramai bersembunyi dalam semak serta sawah padi menunggu memasuki Bangladesh.