Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Rodrigo Duterte mengesahkan bekas pensyarah rakyat Malaysia, Dr. Mahmud Ahmad yang disifatkan ‘orang kanan’ kumpulan militan yang menyokong kumpulan pengganas Daesh terbunuh dalam pertempuran di Marawi.
Menurut beliau, Mahmud merupakan pemimpin yang terbaharu yang disenaraikan terbunuh dalam pertempuran pada malam semalam selepas kematian pemimpin kanan kumpulan tersebut, Isnilon Hapilon dan Omarkhayam Maute pada Isnin lalu.
“Seorang lagi yang dipanggil ‘Doc’ (Mahmud)..ada tiga, Hapilon, Omar dan ‘Doc’, mayatnya (Mahmud) telah dibawa petang ini. Semuanya telah lengkap,” katanya semasa memberi ucapan dalam majlis persidangan perniagaan di sini dan disambut dengan tepukan gemuruh.
Beberapa jam sebelum beliau membuat kenyataan itu, Ketua Tentera, Jeneral Eduardo Ano berkata, pihaknya amat yakin bahawa Mahmud adalah antara 13 anggota militan yang terbunuh dalam pertempuran pada malam Rabu lalu.
Sementara itu, jurucakap tentera, Mejar Jeneral Restituto Padilla memberitahu AFP, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mayat berkenaan akan dilakukan kemudian.
Pada Selasa lalu, Duterte mengisytiharkan Marawi ‘bebas daripada pengaruh pengganas’ namun pihak tentera memaklumkan pertempuran masih diteruskan terhadap saki baki kumpulan militan yang dianggarkan seramai 20 orang.
Kumpulan militan berkenaan menawan sebahagian Marawi pada 23 Mei lalu dan mencetuskan pertempuran sengit dengan tentera kerajaan Filipina sehingga mengorbankan lebih 1,000 orang dan hampir memusnahkan bandar ini.
Susulan kematian Isnilon, ahli akademik, Ahmad Kumar Ramakrishna dari S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura berkata, jika Mahmud masih hidup maka dia akan mengetuai kepimpinan kumpulan militan di selatan Filipina. – AFP
20 Oktober 2017 - 08:40
News ID: 861429
Presiden Rodrigo Duterte mengesahkan bekas pensyarah rakyat Malaysia, Dr. Mahmud Ahmad yang disifatkan ‘orang kanan’ kumpulan militan yang menyokong kumpulan pengganas Daesh terbunuh dalam pertempuran di Marawi.