25 Disember 2017 - 17:29
Pyongyang Kecam Majlis Keselamatan PBB

Korea Utara mengecam sekatan baharu oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) ke atas Pyongyang berhubung ujian peluru berpandu yang dijalankannya.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Korea Utara mengecam sekatan baharu oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) ke atas Pyongyang berhubung ujian peluru berpandu yang dijalankannya.

Pyongyang juga mengancam untuk menghukum mereka yang menyokong sekatan itu dan menganggap keputusan UNSC sebagai satu tindakan perang.

Ini merupakan reaksi pertama Korea Utara sehari selepas Majlis Keselamatan PBB meluluskan sekatan baharu ke atasnya.

Kelmarin, Resolusi UNSC yang memperoleh 15 undian bertujuan melarang hampir 90 peratus eksport produk petroleum yang ditapis ke Korea Utara kepada 500,000 tong setahun.

Ia turut menuntut supaya proses penghantaran pulang warga Korea Utara yang bekerja di luar negara dalam tempoh 24 bulan dan bukannya 12 bulan seperti yang dicadangkan sebelum ini.

Sekutu Pyongyang, China turut menyokong sekatan-sekatan baharu tersebut.

Sekatan itu diperkenalkan kira-kira tiga minggu selepas Pyongyang menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua yang didakwa boleh sampai ke bandar-bandar utama Amerika Syarikat (AS).

Korea Utara mendakwa, program senjata nuklearnya adalah untuk pertahanan negara. - Reuters