18 Januari 2018 - 16:26
Lebih Ramai Etnik Rohingya Lari Ke Bangladesh

Lebih 100 etnik Muslim Rohingya menyeberangi Bangladesh dari Myanmar sejak semalam, dengan pelarian terbaharu berkata, operasi tentera diteruskan di wilayah bergolak Rakhine sekali gus mencetuskan keraguan berhubung perancangan menghantar pulang 655,500 pelarian.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Lebih 100 etnik Muslim Rohingya menyeberangi Bangladesh dari Myanmar sejak semalam, dengan pelarian terbaharu berkata, operasi tentera diteruskan di wilayah bergolak Rakhine sekali gus mencetuskan keraguan berhubung perancangan menghantar pulang 655,500 pelarian.

Sejumlah besar lagi menunggu untuk menyeberangi Sungai Naf di sempadan, walaupun ketika Dhaka bersiap sedia menghantar pulang sebahagian etnik minoriti itu pada minggu depan.

Selasa lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju menyelesaikan isu kepulangan pelarian dalam tempoh dua tahun dengan proses itu dijangka bermula 23 Januari ini.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan operasi tentera Myanmar di bahagian utara Rakhine, dilancarkan sebagai tindak balas serangan pemberontak ke atas pos polis dan tentera 25 Ogos lalu, pembersihan etnik ke atas Rohingya.

Sebuah bot menyeberangi Sungai Naf membawa 53 orang awal semalam dan satu lagi bot tiba dari Teluk Bengal bersama 60 orang pagi ini, menurut pegawai perisikan Bangladesh di Dhaka, dan pegawai bantuan di kem Kutupalong berhampiran Cox's Bazar.

Mereka yang menunggu di sebelah Myanmar untuk menyeberang terkandas kerana tidak memiliki cukup wang membayar tekong. -Reuters