Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Khamis

23 November 2023

7:52:00 PTG
1414409

Pengarah hospital Al-Shifa Gaza ditahan tentera Israel

SEMENANJUNG GAZA: Seorang doktor di hospital terbesar di Gaza, Al-Shifa mendedahkan kepada AFP pengarah serta beberapa kakitangan perubatan lain hospital itu ditangkap tentera Israel, hari ini.

Pengarahnya, Mohammad Abu Salmiya, sering dipetik media antarabangsa mengenai situasi di dalam Al-Shifa, menjadi tumpuan utama serangan darat Israel susulan serangan kumpulan pejuang Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.Tentera Israel bertindak menyerbu hospital minggu lalu mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan di Gaza City untuk melancarkan serangan. Bagaimanapun, Hamas dan pegawai hospital berulang kali menafikan dakwaan itu."Dr Mohammad Abu Salmiya ditahan bersama beberapa doktor kanan lain," kata ketua jabatan di hospital itu, Khalid Abu Samra. Seorang pegawai di Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas menyatakan kepada AFP seorang doktor dan dua jururawat lain ditahan serta pengarah hospital.Dalam satu kenyataan, Hamas mengecam 'sekeras-kerasnya' penahanan Salmiya serta pegawai perubatan lain, menggesa Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan organisasi antarabangsa lain supaya berusaha ke arah 'pembebasan segera' mereka. Sabtu lalu, arahan untuk mengosongkan hospital dikeluarkan mengakibatkan ratusan pesakit dipindahkan ke selatan wilayah Palestin yang dikatakan lebih selamat. Minggu lalu, Salmiya memberitahu AFP beliau menerima arahan pemindahan daripada tentera Israel selepas menolak arahan sebelumnya. Bagaimanapun, tentera Israel mengatakan pemindahan itu dilakukan atas 'permintaan' Salmiya. Tentera mengeluarkan rakaman audio yang mendedahkan perbualan antara Salmiya dan seorang pegawai kanan Israel di mana kedua-duanya menyalahkan satu sama lain untuk arahan pengosongan. Hari ini, Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) berkata, pihaknya bergabung tenaga dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk memindahkan 190 lagi orang yang cedera dan sedang dirawat, rakan mereka dan kakitangan perubatan dari Al-Shifa ke hospital lain di selatan Semenanjung Gaza. Pemindahan mengambil masa hampir 20 jam berikutan kelewatan di pusat pemeriksaan yang memisahkan utara dan selatan Gaza, katanya di X, sebelum ini Twitter, sambil menambah tiga paramedik ditahan, dengan dua daripadanya kemudiannya dibebaskan. Semalam, tentera Israel mengiringi wartawan ke syaf terowong di kompleks hospital yang didakwa mereka sebahagian daripada rangkaian bawah tanah yang luas digunakan Hamas. Pegawai Israel mendakwa Hamas mengendalikan pusat arahan dalam terowong di bawah hospital selama bertahun-tahun namun tuduhan itu dinafikan gerakan Islam dan kakitangan perubatan. Hospital Al-Shifa menjadi lokasi operasi pasukan khas Israel yang diperluaskan sebagai sebahagian daripada perangnya terhadap pejuang di Semenanjung Gaza, di mana kerajaan yang dikendalikan Hamas mengatakan lebih 14,000 orang terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Ia berlaku selepas kumpulan lelaki bersenjata Hamas melintasi sempadan dalam serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada 7 Oktober. Pegawai Israel berkata kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, terbunuh dan kira-kira 240 dijadikan tebusan. - AFP


342/