26 Mei 2016 - 16:00
Tentera Israel bedil Hamas di Gaza

KEPULAN asap dan api kelihatan dari letupan serangan Israel di Gaza. - Foto AP

GAZA: Tentera udara Israel melakukan serangan udara ke atas lokasi Hamas di Gaza, hari ini sebagai tindak balas kepada serangan roket yang menyasarkan negara Yahudi itu, menurut pegawai Palestin. Roket membedil satu kawasan terbuka di Israel namun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kematian.

Menurut satu kenyataan tentera Zionis, serangan itu sebagai tindak balas tentera udara Israel mensasarkan dua kedudukan Hamas di selatan Semenanjung Gaza.

Kumpulan jihad kecil Salafi, Ajnad Beit al-Maqdis mengeluarkan satu kenyataan mendakwa bertanggungjawab ke atas serangan roket itu.

"Kami bertanggungjawab melakukan serangan roket menyasarkan pangkalan tentera Nahal Oz," kata kenyataan itu.

Ia berlaku beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memeterai perjanjian membawa masuk Aviigdor Lieberman ke dalam kerajaan pakatan beliau sebagai Menteri Pertahanan. - AFP