Hari al-Quds sedunia yang dilancarkan oleh al-Marhum Imam Khomeini pada bulan Ramadan 1399 AH (Ogos 1979) terus disambut sebagai tarikh simbolik perjuangan menegakkan keadilan dan keamanan di bumi Palestin di seluruh dunia tanpa mengambil kira fahaman, mazhab, dan lapisan masyarakat oleh seluruh umat Islam. 

Konflik Palestin adalah merupakan konflik yang paling gawat dalam sejarah manusia moden dan menjadi duri dalam daging yang dapat mempengaruhi hubungan antara Barat dan Timur, atau hubungan Islam dan Barat.

Hubungan tersebut harus dinyatakan bukanlah hubungan agama melainkan hubungan antara penindas dan yang tertindas. Kerana kita turut akur terdapat sejumlah penganut Yahudi seperti Neturnei Karta dan penganut Kristian yang turut menjadi mangsa kekejaman zionis.

Kita menyambut hari al-Quds tahun ini dalam tiga keadaan. Yang pertama serangan pemikiran terhadap umat Islam dalam isu Islam menaja keganasan semakin menjadi-jadi malah turut mengheret sama Paus Besar Benedict yang mengawal segala urusan Kristian Katolik. Hal ini tentulah amat mendukacitakan kita.

Yang kedua, kita juga menyambut hari al-Quds dengan semangat baru di sebalik kehebatan dan kemenangan Hezbullah dalam perang musim panas 2006 yang akan diingati kerana kemenangan strategik dan moral seluruh umat Islam mengatasi kuasa tentera Zionis yang selama ini digembar-gemburkan hebat. Yang ketiga, kita juga berasa amat prihatin pertembungan dua kuasa di Palestin iaitu antara gerakan al-Fatah dan Hamas yang masing-masing punya pendekatan sendiri dalam menangani isu Palestin.

 Israel adalah sebuah negara haram yang tertegak atas dasar perkauman dan juga kezaliman dan telah menyebabkan lebih enam juta rakyat Palestin terpaksa hidup di dalam kem-kem pelarian dan di luar negara sehingga hari ini. Sehingga saat ini, lebih kurang satu pertiga daripada jumlah keseluruhan Yahudi dari serata dunia telah mendiami bumi Palestin hasil dari pendudukan yang biadab.    Pelbagai usaha dan juga resolusi yang telah diusahakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan isu ini telah menemui kegagalan malah tambah memburukkan keadaan disebabkan pemain utama politik dunia tidak menyebelahi pihak yang tertindas. Kuasa Barat lebih menyebelahi pihak zionis yang terang-terang zalim dan menindas.

Hasilnya rakyat Palestin bukan sahaja terus sengsara, malah diberikan penilaian berat sebelah oleh media antarabangsa dan ditonjol sebagai penghalang kepada siri usaha damai yang dijalankan. Hal ini berlaku kerana dunia Islam tidak mempunyai kemampuan melobi dan gagal membina sebuah rangkaian media yang benar-benar bebas dalam menyuarakan derik sedih masyarakat Palestin.   Di atas kesedaran ini, kami di FASEH dengan rasa prihatin ingin menyarankan beberapa pendekatan yang lebih bertanggungjawab:

1. Membina jaringan media yang berkesan untuk mengagihkan dan memperjuangkan isu-isu umat Islam khususnya Palestin. Kita di Faseh ingin turut menggesa para budayawan dan seniman menggunakan subjek penderitaan Palestin untuk diangkat menjadi karya kreatif mahupun non kreatif bagi meningkatkan lagi kesedaran ummah terhadap isu Palestin.

Drama pentas seperti Rintih Chicago karya Faisal Tehrani atau filem Selubung karya Shuhaimi Baba misalnya sedikit sebanyak dapat menggerakkan nurani masyarakat umum.

2. Untuk kepentingan semua pihak, kita menyarankan supaya paling tidak dua tokoh dikanunkan (canonized) dalam usaha meningkatkan kesedaran dan sensitiviti masyarakat terhadap isu Palestin. Tokoh tersebut ialah as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin dan al-Marhum Imam Khomeini sebagai pendiri hari al-Quds.

Hal ini kita rasakan wajar kerana terdapat tokoh lampau pembebasan Palestin seperti Salahuddin al-Ayubi yang tidak dapat diterima oleh masyarakat syiah sedunia kerana peranannya menyembelih ramai umat Islam bermazhab syiah di Mesir ketika beliau menjatuhkan pemerintahan Fathimiyyah.

Memandangkan masyarakat syiah telah memberikan partisipasi yang sungguh membanggakan dalam isu Palestin seperti yang ditunjukkan oleh  Hezbullah dan al-marhum Imam Khomeini sendiri, kita merasakan adalah wajar untuk kita mencari seorang tokoh yang dapat diterima umum untuk menjadi simbol gerakan perjuangan Palestin.

Pemilihan as-Syahid Sheikh Ahmad Yassin juga dilihat wajar kerana beliau telah menjadi obor spiritual masyarakat Palestin buat sekian lama, dan diterima secara dasarnya oleh kumpulan Fatah mahupun Hamas, atau Jihad Islam.   3. Menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin yang diproksikan kepada Hezbullah dan Hamas dengan memberikan sebarang bantuan kewangan,  kemanusiaan dan moral kepada mereka. Usaha untuk menyebarluaskan kekejaman zionis dan penderitaan rakyat Palestin harus terus digiatkan.   4. Kita di Faseh menolak sebarang usaha perdamaian yang menuntut pengiktirafan terhadap negara haram Israel. Kita perlu ingat usaha the quartet iaitu Kesatuan Eropah, Rusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Amerika yang galak mempromosi perdamaian dengan jalan pengiktirafan terhadap tindakan penjajahan zionis adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal sihat. Ini adalah satu-satunya pilihan yang ada.

Dalam rangka diplomasi, strategi untuk tidak mengiktiraf kewujudan musuh ini adalah terpakai dalam dunia politik antarabangsa moden sendiri memandangkan kuasa besar China pun tidak mengiktiraf Taiwan.

5. Kita menyeru khutbah Jumaat pada 20 Oktober ini mengungkapkan isu Palestin sambil mendoakan kesejahteraan dan kejayaan rakyat Palestin.

6.  Kita di Faseh juga ingin mengambil kesempatan ini supaya kita menyebarluaskan isu Palestin bukan sebagai isu umat Islam sahaja malahan adalah suatu tragedi kemanusiaan yang memerlukan usaha bersepadu semua pihak, semua bangsa, semua fahaman demi untuk membantu rakyat Palestin mengakhiri derita mereka sepertimana yang pernah kita lakukan sama-sama untuk menekan regim Apartheid di Afrika Selatan dan regim Pol Pot di Kemboja satu masa dahulu.

Jika rejim Apartheid dan Pol pot boleh dihapuskan dan juga diakhirkan hayatnya, begitu juga dengan penguasaan kejam zionis ini. Hanya dengan berakhirnya rejim Zionis sahajalah keamanan yang sebenar di bumi Palestin dan di rantau Timur Tengah akan menjadi kenyataan.