11 Disember 2016 - 17:52
Harga Pesawat Rasmi Presiden Terlalu Mahal: Trump

Bakal Presiden A.S, Donald Trump berkata bahawa untuk menerbangkannya ke serata dunia, Rumah Putih tidak memerlukan pesawat baru yang berharga berbilion dolar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Bakal Presiden A.S, Donald Trump berkata bahawa untuk menerbangkannya ke serata dunia, Rumah Putih tidak memerlukan pesawat baru yang berharga berbilion dolar. Perkara itu dinyatakan beliau berikutan harga USD 4.2 bilion yang ditetapkan oleh Boeing untuk dua pesawat 'Air Force One' yang baru.

Trump pada Selasa lalu merungut dengan mengatakan bahawa pihak Boeing telah meletakkan harga yang sangat tinggi untuk dua pesawat rasmi Presiden A.S yang baru. Pesawat yang dikenali sebagai 'Air Force One' itu biasanya digunakan oleh Presiden A.S di dalam lawatan rasmi mereka. Pesawat baru tersebut dijangkakan akan memasuki perkhidmatan pada tahun 2024.

"Saya tidak perlukan pesawat berharga USD 4.2 bilion untuk terbang ke serata tempat," kata Trump seperti yang dinukilkan oleh Fox News.

Sementara itu, Setiausaha Pasukan Tentera Udara A.S, Deborah Lee James berkata bahawa sebarang bentuk penjimatan hanya boleh dilaksanakan dengan mengurangkan ciri-ciri keselamatan dan komunikasi kritikal pesawat-pesawat tersebut.

Pihak tentera udara yang bertugas menyelia pembelian tersebut sebelum ini berkata bahawa mereka masih menjalankan aktiviti pengurangan risiko dengan Boeing dalam rangka mengurangkan kos pembuatan pesawat-pesawat itu.