Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Khamis

24 November 2022

9:46:25 PTG
1325998

Wanita Afghanistan adakan protes malam hari PBB menentang keganasan

KABUL: Lebih sedozen wanita Afghanistan menyeru hak mereka untuk diiktiraf pada malam sebelum Hari Antarabangsa Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penghapusan Keganasan terhadap Wanita.

Wanita Afghanistan dihimpit daripada kehidupan awam sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu, tetapi terdapat segelintir kumpulan kecil mengadakan protes yang biasanya ditamatkan dengan cepat, kadangkala secara ganas.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk dalam bahasa Dari yang tertulis 'Kami akan memperjuangkan hak kami dan tidak akan menyerah kalah'.

Kebanyakan kumpulan itu memakai cermin mata hitam, kepala ditutup dengan tudung dan pelitup muka. Pejuang Taliban mengawasi situasi dengan teliti, manakala kereta yang ditandakan dengan logo perkhidmatan perisikan mengelilingi kawasan kejiranan.

Kebanyakan pekerja kerajaan wanita kehilangan pekerjaan atau dibayar sedikit untuk tinggal di rumah sejak Taliban kembali berkuasa.

Wanita juga dilarang melakukan perjalanan tanpa saudara lelaki, dan mesti menutup dengan burqa atau tudung apabila berada di luar rumah.

Awal bulan ini Taliban melarang wanita memasuki taman, pesta ria, gim dan tempat mandi awam, manakala sekolah untuk remaja perempuan juga ditutup di seluruh negara.

Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Keganasan terhadap Wanita biasanya berlaku di seluruh dunia pada 25 November.

Menurut PBB, keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan kekal sebagai pencabulan hak asasi manusia yang paling meluas di dunia, menjejaskan satu daripada tiga wanita iaitu angka yang sebahagian besarnya tidak berubah sejak 10 tahun lalu.

342/