Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : freemalaysiatoday
Selasa

21 Mac 2017

8:29:43 PTG
819202

Malaysia Beli Kapal Dari China Hadapi IS, Perebutan Wilayah

Malaysia bercadang merombak armada tentera lautnya, ketika negara serantau bersedia menghadapi ancaman kemasukan militan IS yang melarikan diri dari Mosul dan ketegangan di Laut China Selatan.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Malaysia bercadang merombak armada tentera lautnya, ketika negara serantau bersedia menghadapi ancaman kemasukan militan IS yang melarikan diri dari Mosul dan ketegangan di Laut China Selatan.

Perbelanjaan untuk pertahanan di rantau Asia Pasifik dijangka mencecah AS$250 bilion dari 2016 sehingga 2020, kata IHS Janes Defence Weekly pada Disember lalu dan Malaysia berhasrat meningkatkan keupayaannya sejajar negara lain yang merebut wilayah di Laut China Selatan, walaupun kekurangan bajet pertahanan.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merancang menggantikan semua 50 kapal dalam armada usangnya ketika Putrajaya mengurangkan peruntukan pertahanan sebanyak 12.7% kepada 15.1 bilion (AS$3.41 bilion) tahun ini.

Ia dimulakan dengan perolehan 4 kapal misi pesisir (LMS) yang dibina dengan kerjasama China.

“LMS direka untuk banyak aspek keselamatan maritim seperti operasi mencari dan menyelamat, jenayah rentas sempadan, cetak rompak serta anti keganasan,” kata Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dalam satu wawancara dengan Reuters.

“Kapal ini mampu berdepan ancaman IS dan masalah keselamatan maritim lain.”

Malaysia dijangka memeterai perjanjian dengan China pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) minggu ini bagi membina 4 LMS dan memperoleh teknologi untuk membina lebih banyak kapal itu di dalam negara.

TLDM berharap langkah itu akan membolehkan mereka memiliki 18 LMS pada akhirnya.

Rancangan membeli 4 LMS dari China pertama kali diumumkan November lalu.

Lebih 500 peserta dari 36 negara akan mempamerkan produk mereka di LIMA tahun ini, yang diadakan setiap 2 tahun di Langkawi.

Kamarulzaman berkata, mereka juga di peringkat akhir rundingan dengan pembuat kapal Perancis, DCNS untuk melancarkan program membina kapal tempur pesisir lebih besar (LCS), yang menurutnya perlu diumumkan secara rasmi pada Ogos atau September tahun ini.

TLDM juga sedang mengkaji membeli 3 Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) yang baru dan 2 kapal selam bagi armadanya.

Keperluan bersaing

Ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan, di mana ciptaan pulau buatan Beijing membingungkan beberapa negara Asia dan mencetuskan pergeseran antara tentera laut China dan tentera udara Amerika Syarikat.

Beijing mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya, di mana perdagangan bernilai lebih AS$5 trilion diangkut kapal menggunakan laluan air strategik itu setiap tahun. Filipina, Vietnam, Malaysia, Taiwan dan Brunei turut membuat tuntutan sama.

Di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo, perbelanjaan pertahanan Indonesia melonjak kira-kira 26% dan bulan lalu, kerajaan Thailand meluluskan pembelian kapal selam bernilai 13.5 bilion baht (AS$389.05 juta) dengan China, selepas menangguhkan perjanjian itu tahun lalu.

Anggota Asean bagaimanapun perlu berkongsi perisikan, jika mereka mahu pembelian besar mereka berguna, kata Shahriman Lockman, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Katanya, penambahan aset seperti program LMS Malaysia penting, tetapi pemerolehan bernilai tinggi itu tidak berguna tanpa perkongsian risikan kukuh di kalangan 10 negara anggota Asean, disokong rangkaian luas peralatan pengawasan.

“Kita bercakap mengenai pesawat peronda tentera, radar, dron…dan dalam jumlah lebih besar. Kuantiti ialah kualiti. Ia tidak masuk akal untuk mempunyai peralatan canggih, tetapi dalam bilangan kecil.

“Peralatan yang menyumbang kepada kesedaran domain maritim patut menjadi keutamaan semua. Anda tidak boleh melawan apa yang anda tak nampak.”