Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : Utusan
Jumaat

5 Julai 2019

5:24:35 PTG
957921

Menunggu Pertemuan Jokowi-Prabowo

Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dijangka mengadakan pertemuan bersama Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto dalam masa terdekat ini berhubung pemilihan barisan Kabinet Indonesia.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dijangka mengadakan pertemuan bersama Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Prabowo Subianto dalam masa terdekat ini berhubung pemilihan barisan Kabinet Indonesia.

Detik News yang memetik ahli Badan Komunikasi Parti Ge­rindra, Andre Rosiade sebagai berkata, pertemuan dua pe­mimpin itu diharap dapat meredakan ketegangan dalam kalangan penyokong kedua-dua mereka.

“Prabowo akan bertemu de­ngan Jokowi, insya-Allah bulan ini,” katanya ketika ditemui di Parlimen di Senayan.

Andrea yang juga bekas jurucakap Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo-Sandiaga Uno itu menambah, Probowo turut menyatakan hasratnya untuk membawa beberapa permasalahan berbangkit termasuk isu penyokong beliau yang masih ditahan untuk dibincangkan dalam pertemuan dengan Jokowi itu.

“Selain itu Prabowo memaklumkan meskipun beratus-ratus penyokong yang ditahan polis sebelum ini telah dilepaskan namun mereka masih perlu berulang-alik ke balai polis setiap kali dipanggil.

“Malah para ulama turut berdepan dengan pelbagai masalah. Beliau mahu menyam­paikan perkara-perkara ini kepada Jokowi,” katanya.

Beliau menjelaskan, Gerindra mungkin akan bekerjasama dalam pembangunan negara namun tidak melibatkan struktur pemerintahan.

“Kerjasama dengan pemerintahan boleh dilakukan sama ada dalam atau dari luar pemerintahan,” katanya.

Beliau memberitahu, Prabowo masih belum membuat sebarang keputusan me­ngenai perjalanan Gerindra untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Tapi yang pasti Prabowo akan mengambil keputusan yang terbaik kepada bangsa dan negara,” tambahnya.

Seorang daripada ahli Parti Demokrasi Indonesia Perjua­ngan (PDIP), Eva Kusuma Sundari menyifatkan pertemuan empat mata itu sebagai ‘matang’ dan untuk kepentingan pembangunan politik negara meskipun hasil perbincangan itu masih belum diketahui.

“Keputusan akhir tidak dapat dicapai dalam satu pertemuan sahaja, mungkin akan ada beberapa pertemuan susulan,” tambahnya.