Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Lim Kit Siang hari ini mendedahkan fakta bahawa Najib dan sekutunya telah membuat berbagai pengakuan yang saling bercanggah mengenai derma 2.6 bilion yang menjadi isu hangat sekarang.
"Pada mulanya mereka mendakwa derma itu bertujuan untuk membiayai kempen pilihanraya padahal akaun UMNO tidak pernah menerima satu sen pun setakat ini. Setelah itu muncul lagi dakwaan kononnya dana ini adalah sumbangan daripada orang berpengaruh di Timur Tengah demi menentang ISIS, Israel, Syiah, Liberal Muslim, DAP dan lain-lain lagi?" soal beliau
Selain itu, Lim Kit Siang juga bertanya, berapakah jumlah sebenar derma tersebut samada 2.6 bilion, 4 bilion atau lebih, siapakah penderma tersebut, negara mana yang terlibat, ke manakah wang itu dibelanjakan, berapa jumlah yang masih tertinggal dan di manakah ia sekarang?
"Najib perlu bercakap dan menjawab persoalan-persoalan ini atau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri," tambah beliau.
Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan derma 2.6 bilion tersebut datang dari negara Timur Tengah kerana Malaysia menentang mazhab di luar Ahlu Sunnah Wal Jamaah.
Sejak tahun 2010, penguasa agama tempatan yang berada di bawah beberapa kerajaan negeri telah menggempur mazhab Syiah secara besar-besaran dengan melibatkan beberapa tangkapan dan kempen di dalam media, minbar masjid, forum, ceramah di sekolah-sekolah dan lain-lain lagi. Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin pernah menyifatkan isu Syiah terlalu gempar bagaikan langit hendak runtuh sehingga kredibiliti kerajaan Barisan Nasional dan Umno semakin terhakis apabila rakyat melihat tiada sesiapa pun yang akan bertanggungjawab untuk bertindak dengan berani dan tegas.