Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Sumber keselamatan Malaysia mendedahkan kumpulan militan tempatan dikesan menjalinkan hubungan dengan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) dan amat berkait rapat dengan al-Qaeda.
Berasaskan laporan ini, kumpulan terbabit dilatih menjadi pakar dalam penggunaan senjata api berat dan bom temasuk menghasilkan bom buatan sendiri.
Sumber turut menyatakan kebimbangan sekiranya pengganas terbabit pulang dari Syria dan mencetuskan huru-hara dalam negara.
"Dengan kepakaran membuat bom, apa yang akan mereka lakukan di negara kita? Tidak mustahil kumpulan ini yang membawa ideologi pengganas boleh memberi ancaman serius kepada negara sekiranya tidak dibendung.
"Apa yang berlaku (ancaman pengganas) di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand perlu disekat agar tidak terjadi di negara kita," katanya ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia di sini hari ini.
"Di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), pihak berkuasa mempunyai tempoh 28 hari untuk siasatan dan kita yakin mereka (ahli kumpulan militan) akan dapat dihadapkan ke mahkamah dalam masa terdekat," ujarnya.
Sumber itu turut mendedahkan, apa yang berlaku di Syria adalah agenda negara-negara barat untuk memecahbelahkan negara Arab, apatah lagi Syria merupakan sekutu kuat Iran.
"Dakwaan bahawa Presiden Syria menggunakan bom kimia untuk menyerang puak penentangnya belum terbukti benar dan tidak mustahil ia hanyalah propaganda Barat," katanya. - Utusan Malaysia.