Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Ahad

27 November 2022

7:06:16 PTG
1326802

Pakistan tahan senator keluar kenyataan mengenai ketua tentera

ISLAMABAD: Polis Persekutuan Pakistan menahan seorang senator yang juga ahli kanan parti bekas Perdana Menteri, Imran Khan, kerana mengkritik pegawai tertinggi tentera.

Menurut rakan sejawatnya dari Parti Tehreek-e-Insaf, Azam Khan Swati ditahan buat kali kedua dalam tempoh beberapa bulan.

Beliau ditahan di kediamannya di pinggir bandar Islamabad beberapa jam selepas berucap pada perhimpunan pimpinan Imran Khan di bandar Rawalpindi.

Swati didakwa memfitnah dan dihadapkan ke mahkamah hari ini, yang membenarkan Agensi Siasatan Persekutuan menyoal siasat senator itu selama dua hari. Beliau ditahan di sebuah kemudahan di Islamabad.

Bekas menteri hak asasi manusia, Shireen Mazari, berkata sepasukan pegawai FIA menahan Swati selepas mendesak ketua tentera mengemukakan butiran aset kewangannya.

"Nampaknya kebebasan bersuara di Pakistan hari ini dikhaskan untuk negara yang berkuasa, sama ada dalam sidang akhbar, ucapan umum, kenyataan akhbar atau di media sosial. Selebihnya, termasuk Ahli Parlimen, hak ini dinafikan," katanya.

Agensi Penyiasatan Persekutuan, yang beribu pejabat di ibu negara Islamabad, adalah agensi kawalan sempadan, siasatan jenayah, perisikan balas dan keselamatan di bawah kawalan Setiausaha Dalam Negeri, menurut laman webnya.

Oktober lalu, Swati ditahan kerana menggunakan bahasa 'menjengkelkan dan menakutkan' untuk mengkritik ketua tentera, Jeneral Qamer Javed Bajwa, institusi negara dan pegawai kerajaan lain.

Ketika dihadapkan ke mahkamah beliau mendakwa ditelanjangkan dan diseksa.

Mahkamah membebaskannya dengan ikat jamin beberapa hari selepas penahanannya.

Dalam ucapan ringkasnya pada perhimpunan di Rawalpindi semalam, Swati mencabar Bajwa untuk memberitahu rakyat sebelum bersara apakah aset yang dikumpul ketika berkhidmat dan bagaimana ia diperolehi.

"Saya warga Pakistan bertanya kepada anda dan akan terus bertanya sehingga saya mendapat jawapan," katanya.

Sehari sebelum itu, beliau menggunakan bahasa kesat ketika merujuk kepada ketua dan pegawai kanan tentera lain di media sosial.

Khan, bekas perdana menteri, berkata beliau terkejut dengan penahanan Swati dan berkata rakyat Pakistan perlu lantang bersuara menentang apa yang disebutnya fasisme negara.

Sayap media tentera mengeluarkan kenyataan mengkritik propaganda di media sosial mengenai aset Bajwa.

Katanya, beberapa kumpulan menyiarkan butiran mengelirukan, membesar-besarkan atau mengada-adakan cerita mengenai kewangan beliau dan keluarganya.