Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Ahad

18 Disember 2022

8:01:13 PTG
1331966

Israel usir peguam Perancis-Palestin, Salah Hamouri

BAITULMAQDIS: Israel mengusir peguam hak asasi manusia warga Perancis-Palestin, Salah Hamouri, selepas proses penghakiman yang panjang membabitkan kesalahan keselamatan dan ditahan tanpa dituduh sejak Mac lalu.

Hamouri, 37, ditahan di bawah peraturan kontroversi dikenali sebagai tahanan pentadbiran, yang membolehkan suspek ditahan untuk tempoh boleh diperbaharui sehingga enam bulan.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, Hamouri diusir hari ini ke Perancis berikutan keputusan Menteri Dalam Negeri, Ayelet Shaked, untuk menarik balik status pemastautin yang dipegangnya.

Keluarga dan penyokongnya menjangkakan pengusiran akan dilakukan menerusi penerbangan Tel Aviv-Paris oleh syarikat penerbangan Israel, El Al.Sebelum ini, Mahkamah Tentera Israel menjatuhkan hukuman penjara pentadbiran terhadap Hamouri, yang memegang kewarganegaraan Perancis pada Mac lalu atas tuduhan menjadi ahli Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP) dan membahayakan keselamatan serantau.

Ini kerana Israel, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) menganggap PFLP sebagai kumpulan pengganas yang terbabit dalam beberapa serangan maut ke atas warga Israel.

Bagaimanapun, Hamouri menafikan kaitannya dengan PFLP, namun dia ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak berkuasa Israel beberapa kali, termasuk pada 2005.

Berikutan penahanan itu, dia dibicarakan dan disabitkan oleh mahkamah Israel atas tuduhan merancang untuk membunuh Ovadia Yosef, seorang rabbi dan pemimpin kerohanian terkemuka parti politik ultra-Ortodoks Shas.

Hamouri dibebaskan pada Disember 2011 sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan dengan Gaza, namun kekal dengan pendirian tidak bersalah.

Dilahirkan di Baitulmaqdis, Hamouri tidak mempunyai kewarganegaraan Israel, tetapi dia memegang permit pemastautin yang dibatalkan oleh pihak berkuasa Israel.

Israel berkata, penahanan pentadbiran bertujuan untuk membolehkan pihak berkuasa menahan suspek sambil terus mengumpul bukti, dengan tujuan mencegah serangan atau kesalahan keselamatan dalam pada itu.

Bagaimanapun, rakyat Palestin, kumpulan hak asasi manusia dan ahli masyarakat antarabangsa mengkritik sistem itu serta menuduh Israel menyalahgunakan langkah itu.

342/