Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com.my
Jumaat

27 Januari 2023

8:37:56 PTG
1341536

Arab Saudi kecam tindakan provokatif koyak al-Quran di Belanda

RIYADH: Arab Saudi mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelampau yang memijak dan mengoyakkan naskhah al-Quran berhampiran Parlimen di The Hague, Belanda.

Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataan Twitternya semalam berkata, perbuatan berkenaan dianggap provokatif kepada berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia.

Perbuatan berkenaan dilakukan oleh Ketua Kumpulan Pelampau Pegikda Belanda, Edwin Wagensveld Ahad lalu.

Tindakan provokatif di Belanda itu berikutan pembakaran salinan kitab suci itu di luar kedutaan Turkiye di ibu negara Sweden di Stockholm Sabtu lalu oleh pelampau sayap kanan dan ahli politik Denmark-Sweden, Rasmus Paludan.Kementerian Luar Arab Saudi berkata, pendirian mereka adalah tegas dan menyeru untuk menyebarkan nilai dalam dialog, toleransi bersama serta menolak unsur kebencian dan ekstremisme. Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi turut mengecam tindakan ekstremis di negara berkenaan. Jabatan itu dalam kenyataannya semalam juga secara tegas menolak sebarang amalan dan perbuatan yang memudaratkan kesucian Islam dan syariatnya. "Tindakan seperti ini menyinggung perasaan dan antara lain mencemarkan konsep kebebasan dan nilai kemanusiaan. Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan yang dilakukan dengan sengaja terhadap al-Quran," katanya. Jabatan itu juga menekankan kepentingan nilai dialog, toleransi serta hidup bersama dan tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan keimanan umat Islam kepada Allah dan kitab suci al-Quran. Terdahulu, Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia Rasmus Paludan yang membakar naskhah al-Quran di Stockholm, Sweden. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia juga menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan segera terhadap pelaku perbuatan keji itu serta memastikan langkah drastik diambil pada masa hadapan untuk menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan. Kelmarin, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan kebimbangannya terhadap manifestasi berterusan sikap tidak bertoleransi dan kebencian agama terhadap umat Islam di banyak bahagian dunia dan menggesa kerajaan yang berkenaan mengambil langkah untuk menangani Islamofobia. -