Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian.com
Isnin

6 November 2023

5:27:06 PTG
1409261

Israel pisahkan selatan dan utara Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Israel terus membedil Gaza dengan serangan bertubi-tubi selepas menyekat akses antara selatan dan utara Gaza, ketika usaha penghantaran bantuan kemanusiaan untuk penduduk Palestin dipergiatkan.

Jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari, berkata tenteranya kini mengepung bandar Gaza, yang sudah dipisahkan antara Gaza selatan dan Gaza utara, bagi operasi menggempur seterusnya. Israel mengedarkan risalah dan menghantar mesej teks menggesa orang awam Palestin di utara Gaza menuju ke selatan, sebelum pengeboman besar-besaran dimulakan. Namun, seorang pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata, sekurang-kurangnya 350,000 orang awam Palestin kekal tersekat di kawasan yang kini mahu dijadikan zon perang bandar kerana tiada akses untuk meninggalkannya.Israel pula berikrar akan terus menyerang Gaza dalam pertempurannya untuk memusnahkan Hamas, malah sudah meratakan hampir seluruh blok bandar di sesetengah kawasan. "Pada masa ini, ibu bapa di Gaza tidak tahu sama ada mereka mampu memberikan anak-anak makan hari ini atau menahan lapar sehingga esok," kata Ketua Program Makanan Sedunia, Cindy McCain.Menurut tentera Israel semalam, sejak pihaknya menghantar tentera darat ke utara Gaza akhir bulan lalu, lebih 2,500 sasaran kumpulan Hamas diserang oleh angkatan darat, udara dan tentera laut. Sambungan telefon dan liputan internet diputuskan untuk kali ketiga ketika perang, menurut Paltel, pengendali utama telekomunikasi yang masih bertahan. Sejurus selepas talian diputuskan, tentera Israel melancarkan pengeboman sengit ke atas Bandar Gaza dan zon berdekatan lain di utara wilayah itu. Beberapa letupan sangat kuat sehingga boleh didengari di Rafah yang terletak di bahagian selatan, kata seorang wartawan AFP. Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza berkata, pengeboman Israel ke atas kem pelarian Al-Maghazi lewat kelmarin mengorbankan 45 orang, dengan saksi melaporkan ramai kanak-kanak maut dan kediaman musnah.


342/