Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Jumaat

17 November 2023

8:05:19 PTG
1412537

PBB gesa siasatan antarabangsa pencabulan perang Israel-Palestin

GENEVA: Hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam menggesa tanggungjawab penuh dilaksanakan pihak berkuasa antarabangsa termasuk siasatan susulan dakwaan pencabulan hak yang serius dalam perang Israel dan Palestin.

Pesuruhjaya tingginya, Volker Turk, berkata suatu siasatan yang telus perlu dilaksanakan terhadap dakwaan yang sangat serius mengenai pelbagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang dahsyat, membabitkan mana-mana pihak yang melakukannya.

Tanpa menamakan Israel atau Palestin, Turk bagaimanapun memberi amaran bahawa kedua-dua pihak melakukan jenayah perang dalam konflik yang menyebabkan ribuan orang terkorban.

"Penyiasatan antarabangsa diperlukan, apabila pihak berkuasa negara terbukti tidak mahu atau tidak dapat melaksanakannya, apatah lagi selepas wujudnya naratif yang dipertikaikan mengenai insiden penting ini," katanya dalam taklimat kepada negara anggota PBB di Geneva.Pada masa sama, Turk turut mengecam cetusan keganasan yang dilepaskan dan mendengar sendiri kebimbangan berhubung bahaya yang dahsyat itu oleh penduduk sendiri. "Saya sendiri bercakap dengan penduduk yang menyeberang keluar dari Gaza ketika lawatan ke sempadan Mesir sebelum ini, dan jarang sekali dapat mendengar pengakuan membimbangkan mengenai ancaman bahaya dialami mereka," katanya. Sehingga kini, Turk berkata, beliau tidak mendapat akses ke Israel atau wilayah Palestin, tetapi menekankan keperluan mendesak bagi agensinya untuk ke sana bagi memantau dokumentasi penuh dan bebas bagi penyelarasan usaha perlindungan. Katanya, beliau sudah meminta rejim Israel untuk memberi akses bukan sahaja ke wilayahnya namun juga ke penempatan yang diduduki Palestin. "Namun saya masih belum menerima maklum balas", katanya. Sementara itu, misi Israel ke PBB di Geneva, menolak permintaannya untuk melawat wilayah rejim itu. Menurut Israel, mereka tidak melihat sebarang manfaat tambahan daripada lawatan pesuruhjaya tinggi itu pada masa ini. "Semasa lawatannya ke rantau Asia Barat minggu lalu, Turk menjelaskan bahawa beliau sudah membuat keputusan dan ia menyebabkan sebarang sesi dialog bersama pihaknya, tidak memberi banyak kesan," katanya. Sebelum ini, Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan pada 7 Oktober lalu, yang dilaporkan membunuh kira-kira 1,200 orang. Menurut pihak berkuasa, Hamas kini menahan seramai 239 orang. Kementerian Kesihatan dalam pentadbiran Hamas, menyatakan pengeboman tanpa henti dan serangan darat Israel di Gaza membunuh lebih 11,500 orang, juga kebanyakan orang awam, termasuk ribuan kanak-kanak. 

342/