Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA)

source : bharian
Isnin

27 November 2023

8:07:42 PTG
1415433

Hamas, Israel mahu lanjutkan pemberhentian sementara perang

GAZA: Hamas pada Ahad mengumumkan bahawa pihaknya berusaha melanjutkan pemberhentian sementara perang dengan Israel di Semenanjung Gaza.

Sementara itu, menurut sumber Palestin, Hamas sudah pun memaklumkan kepada Qatar dan Mesir mengenai kesediaan untuk melanjutkan tempoh itu selama dua hingga empat hari lagi, lapor Agensi Anadolu.

Pemberhentian sementara perang di bawah kendalian Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS) sebagai pengantara yang berkuat kuasa pada Jumaat telah menghentikan sementara serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Dalam pada itu, hampir 15,000 rakyat Palestin termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita maut sejak serangan bermula pada 7 Oktober, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.Sementara itu di Tel Aviv, Kabinet Perang Israel pada Ahad membincangkan mengenai kemungkinan gencatan senjata yang dipersetujui dengan Hamas dilanjutkan, kata sumber Israel kepada CNN. Menurut sumber tersebut, syarat-syarat untuk memanjangkan gencatan senjata itu masih kekal dengan apa yang dipersetujui dalam rundingan asal. Ini bermakna pasukan pejuang Hamas perlu membebaskan tambahan 10 tebusan Israel bagi setiap hari baharu pemberhentian sementara perang antara kedua-dua pihak. Rundingan berkenaan turut bersetuju pembebasan setiap tebusan di bawah tawanan Hamas akan bertukar dengan pembebasan kaum wanita dan kanak-kanak rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel. - AGENSI

342/