Pejabat Agensi Berita Ahlul Bait-ABNA.ir, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris untuk memberi penjelasan dan memohon ampun kerana telah memberikan ucapan di dalam surau al-Huda, Kajang.
Teo turut menyatakan rasa kesal isu ini dimanipulasikan oleh pelbagai pihak sehingga tercetus isu yang menimbulkan keresahan umat Islam kerana setelah menyampaikan sumbangan untuk memperbaiki pagar surau, beliau telah dijemput memberikan ucapan tentang skim pinjaman pengajian tinggi Negeri Selangor dan ucapan tersebut tidak ada kaitan dengan politik.
Dalam lawatan tersebut YB Teo Nie Ching memberi sumbangan kerajaan negeri sebanyak RM 1000 bagi memperbaiki pagar surau berkenaan dan berbuka puasa bersama anggota jawatankuasa serta jemaah surau.
Majlis Agama Islam Selangor sebelum ini telah mengeluarkan amaran kepada YB Teo dan menggantung jawatankuasa Surau al-Huda dengan serta merta.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.
Muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.
Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.